
KUANTAN – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang memaklumkan semua sekolah di negeri itu akan beroperasi seperti biasa esok.
JPN Pahang dalam kenyataan hari ini berkata, sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa berdasarkan perkembangan bacaan Indeks Pencemaran Udara melalui Pejabat Pendidikan Daerah masing-masing.
“Dalam situasi jerebu ini, semua guru, murid, Anggota Kumpulan Pelaksana dan warga sekolah digalakkan memakai pelitup muka demi keselamatan dan kesihatan bersama. Pastikan pelitup muka menutup hidung dan mulut dengan baik.
“Ibu bapa, penjaga dan warga sekolah disaran untuk sentiasa mengikuti makluman rasmi daripada pihak sekolah.
“Keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan kekal menjadi keutamaan JPN Pahang,” menurut kenyataan itu.
Jumaat lalu, semua institusi pendidikan di daerah Rompin bawah seliaan JPN Pahang ditutup sementara sehingga keadaan kembali selamat dan arahan selanjutnya dikeluarkan.






