
NAIB Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar menggesa Pas supaya tidak terus menyalahkan DAP berhubung krisis pentadbiran di Negeri Sembilan, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha menyelesaikan kemelut berkenaan demi kepentingan rakyat.
Beliau berkata, krisis membabitkan pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) itu perlu dijelaskan berdasarkan fakta, proses perundangan dan pihak yang bertanggungjawab mentadbir negeri, bukannya dikaitkan dengan DAP atau isu hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat.
Menurutnya, tindakan mengheret DAP dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam polemik berkenaan tidak menjawab persoalan utama mengenai kedudukan Exco serta kelancaran pentadbiran negeri.
“Kalau DAP yang menjadi puncanya, mengapa rakyat Negeri Sembilan masih berdepan krisis pentadbiran sedangkan kerajaan negeri sendiri yang perlu menyelesaikannya?
“Ini bukan lagi politik fakta. Ini politik ‘asal sebut DAP, Melayu mesti percaya’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mahfuz berkata, pembatalan pelantikan 10 Exco yang berkuat kuasa pada 20 September lalu, diikuti pewartaan pembatalan berkenaan, menimbulkan persoalan mengenai kestabilan pentadbiran negeri.
Beliau turut membangkitkan kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan pada 8 Oktober lalu yang menurutnya menyatakan isu pelantikan Exco akan diselesaikan kemudian, manakala urusan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) diberi keutamaan.
Katanya, rakyat berhak mengetahui tempoh yang diperlukan untuk menyelesaikan kemelut itu kerana kerajaan dipilih bagi menyelesaikan masalah rakyat, bukannya berpanjangan dalam pertikaian politik.
“Yang paling malang bukan Pas, bukan Barisan Nasional (BN), bukan DAP dan bukan Pakatan Harapan (PH), tetapi rakyat Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau turut mendakwa pertikaian mengenai kedudukan Exco berpotensi menjejaskan urusan pentadbiran, peruntukan, pembangunan serta penyaluran bantuan kepada rakyat.
Menurut Mahfuz, Menteri Besar sebelum ini juga mempertikaikan pembatalan pelantikan Exco sebagai tidak berperlembagaan dan menegaskan bahawa Exco sedia ada masih sah.
Bagaimanapun, katanya, selepas pembatalan itu diwartakan, 10 Exco berkenaan tidak lagi disenaraikan dalam struktur rasmi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipaparkan oleh kerajaan negeri.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa penyelesaian krisis berkenaan perlu berlandaskan Perlembagaan, proses yang sewajarnya serta penghormatan terhadap institusi Raja.
“Institusi Raja bukan alat Pas. Perlembagaan bukan milik BN. Negeri Sembilan bukan gelanggang percubaan politik mana-mana parti. Rakyat bukan penonton drama politik,” katanya.
Dalam pada itu, Mahfuz mempersoalkan kaitan antara krisis pentadbiran Negeri Sembilan dengan Donald Trump dan White House yang dibangkitkan dalam tulisan Presiden Pas.
Katanya, hubungan diplomatik Malaysia dengan Amerika Syarikat tidak bermakna negara ini menjadi pengikut Washington, sebaliknya merupakan sebahagian daripada urusan diplomasi antarabangsa.
“Diplomasi ialah urusan negara, ia tidak boleh disamakan dengan soal akidah atau ‘imam’.
“Berniaga dengan seseorang tidak bermakna kita menyerahkan rumah kepadanya,” katanya.
Beliau berkata, rakyat tidak seharusnya ditakut-takutkan dengan isu hubungan antarabangsa semata-mata untuk menyerang kerajaan, sebaliknya perlu diberikan penjelasan mengenai keputusan dan tindakan pihak yang mentadbir negeri.
Mahfuz turut menegaskan bahawa masyarakat Melayu mampu menilai isu politik secara rasional dengan meneliti pihak yang memerintah, proses membuat keputusan serta peruntukan undang-undang yang terpakai.
“Rakyat Negeri Sembilan tidak perlukan kuliah tentang Donald Trump. Mereka perlukan kerajaan negeri yang lengkap, stabil dan boleh bekerja.
“Jangan mencari DAP di Washington untuk menjelaskan kekacauan di Seremban. Cari dahulu punca masalah di rumah,” katanya.
Beliau berkata, keutamaan ketika ini ialah memastikan pentadbiran Negeri Sembilan kembali berfungsi dengan baik supaya kebajikan dan kepentingan rakyat tidak terus terjejas.






