
KUCHING – Pengumuman Belanjawan 2027 meningkatkan peluang tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada anak kelahiran Sabah dan Sarawak membuktikan komitmen kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Nicholas Kudi Jantai berkata, peningkatan jumlah tajaan JPA daripada kira-kira 2,100 kepada 4,200 peluang setiap tahun merupakan langkah positif yang memberi manfaat besar kepada generasi muda di Sabah dan Sarawak.
Menurut beliau, penambahan peluang berkenaan membolehkan lebih ramai pelajar dari kedua-dua negeri itu melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT), khususnya dalam bidang kritikal yang diperlukan negara.

“Ini menunjukkan kerajaan Persekutuan terus menyokong semangat MA63, selaras dengan usaha memperkukuh hak dan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan.
“Sudah tentu langkah ini memberi manfaat yang sangat berharga kepada anak-anak Sabah dan Sarawak kerana lebih ramai pelajar berpeluang mendapatkan pendidikan tinggi serta membina masa depan dalam bidang strategik,” katanya ketika dihubungi TMP, hari ini.
Beliau turut menyambut baik peningkatan bantuan tiket penerbangan FlySiswa MADANI daripada RM400 kepada RM500, yang disifatkannya sebagai satu bentuk keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan mahasiswa dari Sabah dan Sarawak yang menuntut di Semenanjung.
Dalam perkembangan sama, Nicholas berkata, peningkatan peruntukan pembangunan kepada Sabah dan Sarawak turut memperlihatkan perhatian kerajaan terhadap keperluan pembangunan di kedua-dua wilayah berkenaan.
Beliau berkata, peruntukan kepada Sabah meningkat kepada RM18.7 bilion berbanding RM17.6 bilion pada 2026, manakala Sarawak menerima peningkatan kepada RM16.2 bilion berbanding RM15.1 bilion pada tahun sama.
Katanya, peningkatan agihan tersebut selaras dengan usaha memperkasakan pembangunan Sabah dan Sarawak, selain membantu mengurangkan jurang perbezaan antara Semenanjung dengan kedua-dua negeri itu terutama dari segi infrastruktur dan perkhidmatan asas.
“Peningkatan peruntukan ini amat penting bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh, termasuk memperbaiki kemudahan asas serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di Sabah dan Sarawak.
“Saya berharap Belanjawan 2027 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri dapat dilaksanakan dengan baik, diurus secara adil dan manfaatnya dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat di Malaysia,” katanya.

