
KUANTAN – Golongan wanita di Pahang diseru agar tidak membiarkan rasa takut menghalang mereka daripada menjalani pemeriksaan kesihatan, khususnya saringan kanser payudara bagi membolehkan penyakit itu dikesan dan dirawat lebih awal.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan berkata, kesedaran mengenai kanser payudara tidak seharusnya terhad kepada sambutan tahunan pada Oktober, sebaliknya perlu dijadikan amalan sepanjang masa.
“Kanser payudara adalah isu kesihatan yang tidak boleh dipandang ringan. Perkara paling penting ialah kita tidak boleh biarkan rasa takut menghalang kita daripada bertindak.
“Jangan takut untuk memeriksa, jangan takut untuk bertanya, jangan takut untuk mendapatkan saringan. Jangan tunggu sehingga wujud tanda serius baru nak ambil berat tentang kesihatan diri.
“Kadang-kadang kita perlu berani mengetahui sesuatu yang kita takut untuk dengar kerana mengetahui lebih awal memberi ruang untuk bertindak lebih awal,” katanya, seperti dilapor Pahang Media.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara 2026 peringkat negeri Pahang di Melor Concourse, Berjaya Megamall, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Cancer Support Pahang (CSP), Zaridah Hashim.
Menurut Sabariah, kesihatan wanita bukan sahaja memberi kesan kepada diri sendiri, malah turut mempengaruhi kesejahteraan keluarga dan masyarakat secara keseluruhan.
“Kesihatan seorang wanita bukan hanya tanggungjawab wanita itu sendiri. Apabila seorang ibu sihat, keluarga mendapat manfaatnya. Apabila seorang isteri sihat, suami turut merasai kekuatannya.
“Apabila seorang wanita diberi ruang untuk menjaga kesihatan dirinya, masyarakat juga mendapat manfaat daripada sumbangan dan peranannya.
“Jangan kerana terlalu sibuk menjaga suami dan anak-anak, kita terlupa menjaga diri sendiri. Jangan kerana terlalu sibuk bekerja, kita tangguhkan pemeriksaan. Jangan kerana takut mendengar keputusan, kita memilih untuk tidak mengetahui,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Pahang terus komited memperkukuh kesejahteraan wanita menerusi pelbagai inisiatif termasuk Program Cakna Suri yang memberi tumpuan kepada kesihatan dan kebajikan golongan berkenaan.
Katanya, pada 2021 kerajaan negeri memperuntukkan RM1.5 juta bagi menyediakan saringan mamogram percuma kepada 6,000 wanita di seluruh negeri.
Inisiatif itu diteruskan pada 2022 menerusi peruntukan RM1.9 juta yang turut merangkumi saringan kanser serviks menggunakan kaedah HPV DNA kepada 6,000 wanita kelompok B40.
Tambahnya, pada 2023 Program Cakna Suri Tambahan dan saringan HPV DNA diteruskan dengan penyediaan perkhidmatan mamogram percuma kepada 6,000 wanita daripada kelompok B40 dan M40.
“Kerajaan negeri memperuntukkan RM5 juta bagi tempoh 2022 hingga 2026 bagi pelaksanaan Dasar Wanita dan Pelan Tindakan Wanita Negeri Pahang sebagai usaha memperkasa wanita secara menyeluruh,” katanya.



