
KOTA KINABALU – Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menggembleng segala usaha dan kepakaran teknikal bagi mempercepatkan usaha pemulihan bekalan elektrik susulan insiden menara penghantaran elektrik di Kolopis-Sagaliud yang tumbang awal pagi ini.
Pengerusi SESB, Saadiah Aziz berkata, insiden tersebut menjejaskan seramai 153,599 pelanggan di tujuh daerah di Pantai Timur Sabah.
Menurutnya, insiden yang dikesan seawal jam 6 pagi itu membabitkan kedua-dua talian penghantaran 275 kilovolt (kV), iaitu Laluan 1 dan Laluan 2.
“Susulan kejadian berkenaan, Sabah Electricity segera mengaktifkan Sistem Pengurusan Krisis bagi menyelaras tindakan kecemasan, pelan mitigasi dan kerja-kerja pemulihan secara tersusun serta mengikut prosedur ditetapkan.
“Tujuh daerah yang terjejas ialah Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Semporna, Kinabatangan, Kunak dan Beluran, sekali gus memerlukan tindakan segera bagi mengurangkan impak gangguan bekalan elektrik terhadap kehidupan harian penduduk, sektor perniagaan serta perkhidmatan penting.
“Sebagai langkah mitigasi awal, sebanyak lapan set janakuasa mudah alih (genset) telah digerakkan seawal jam 10 pagi ke beberapa lokasi strategik, termasuk hospital, sekolah, loji rawatan air dan ibu pejabat polis daerah,” katanya dalam sidang media, di sini pada Khamis.

Menurutnya, langkah ini bertujuan memastikan kemudahan kritikal terus mendapat bekalan elektrik dan perkhidmatan asas kepada rakyat tidak terjejas secara berpanjangan.
“Dalam perkembangan sama, Tawau dan Sandakan kini menerima bekalan elektrik daripada stesen janakuasa setempat sementara kerja-kerja pemulihan talian penghantaran yang terjejas giat dilaksanakan.
“Sabah Electricity turut menyusun penyelesaian teknikal termasuk pemasangan menara sementara bagi membolehkan sistem penghantaran kembali beroperasi, dengan aspek keselamatan dan kestabilan bekalan menjadi keutamaan,” ujarnya.
Tambahnya, pengaktifan bilik gerakan pengurusan krisis bukan sahaja dilaksanakan di Sabah, malah turut mendapat sokongan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui kepakaran teknikal dan pengalaman dalam membantu menangani insiden berkenaan.
“Kerjasama itu penting bagi memastikan setiap tindakan pemulihan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan tanpa mengabaikan prosedur keselamatan.
“Penyelarasan turut dilaksanakan bersama kerajaan negeri dengan perkembangan kejadian dimaklumkan kepada pemegang taruh utama, termasuk Pejabat Ketua Menteri dan Setiausaha Kerajaan Negeri.
“Taklimat kepada Lembaga Pengarah SESB dan TNB turut diadakan, manakala Ketua Menteri Sabah telah diberikan taklimat mengenai perkembangan insiden pada jam 4.30 petang,” jelasnya.
Sementara itu, sebagai mengambil iktibar daripada kejadian menara tumbang yang pernah berlaku pada September 2025, SESB turut memperkukuh kesiapsiagaan dari aspek pengurusan operasi, penyelarasan teknikal dan komunikasi krisis.
“Pendekatan bersepadu itu membolehkan maklumat berkaitan perkembangan insiden serta langkah pemulihan disampaikan secara lebih teratur kepada pemegang taruh, agensi kerajaan dan wakil rakyat.
“Bagaimanapun, saya menegaskan bahawa keutamaan bukan sekadar memulihkan bekalan elektrik dalam tempoh sesingkat mungkin, sebaliknya memastikan keselamatan semua petugas teknikal, kontraktor dan penduduk di kawasan terjejas sentiasa terpelihara.
“Semua kerja pembaikan, termasuk pengendalian struktur menara dan pemasangan kemudahan sementara, perlu dilaksanakan dengan mematuhi prosedur keselamatan yang ditetapkan” jelasnya.
Dalam pada itu, SESB memberi jaminan bahawa segala usaha sedang dipergiatkan dengan kerjasama TNB dan kerajaan negeri bagi mempercepatkan pemulihan sistem penghantaran serta mengembalikan bekalan elektrik kepada pengguna terjejas.
“Keutamaan syarikat ketika ini adalah memastikan kesan gangguan dapat diminimumkan, kemudahan penting terus beroperasi dan rakyat di tujuh daerah terlibat dapat kembali menikmati bekalan elektrik yang stabil serta menjalani kehidupan harian dengan lebih selesa,” tegasnya.


