
CYBERJAYA – Keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan warga pendidik dan pembangunan sektor pendidikan dalam Belanjawan 2027 amat dihargai, kata Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP)
Presidennya, Aminuddin Awang berkata, cadangan menyediakan pembantu guru merupakan antara perkara yang sekian lama diperjuangkan bagi mengurangkan beban tugas perkeranian dalam kalangan guru.
“Kita mahukan pembantu guru bagi mengurangkan beban tugas guru, khususnya kerja-kerja perkeranian yang menghalang mereka daripada memberikan tumpuan kepada tugas hakiki, iaitu berinteraksi secara langsung dengan murid.
“Kita yakin sekiranya inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, ia mampu mengurangkan beban tugas guru di 200 sekolah yang telah dikenal pasti,” katanya, dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kepentingan peruntukan mencukupi bagi kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan sekolah demi memastikan keselamatan murid serta warga sekolah terjamin.
Katanya, sebelum ini pihak sekolah berdepan kesukaran mendapatkan peruntukan daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk melaksanakan kerja pembaikan akibat kekangan dana.
“Bukan kerana pihak berkenaan tidak mahu membantu, tetapi disebabkan kekangan peruntukan.
“Dengan peningkatan peruntukan sebanyak sekali ganda ini, kita yakin pihak sekolah akan lebih mudah mendapatkan dana untuk membaik pulih kemudahan dan infrastruktur di sekolah masing-masing,” katanya.
Menerusi Belanjawan 2027, kerajaan memperuntukkan RM2 bilion bagi kerja-kerja membaik pulih dan menyelenggara semua jenis sekolah.
Sementara itu, KPM menerima peruntukan hampir RM69 bilion, meningkat kira-kira RM2.8 bilion berbanding RM66.2 bilion pada tahun ini.
Peningkatan itu menjadikan KPM antara kementerian yang menerima peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2027.





