KOTA KINABALU – Teguran Ketua Audit Negara berhubung pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah perlu diambil tindakan segera bagi memastikan kelemahan sama tidak berulang dalam fasa seterusnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata, teguran berkenaan perlu dilihat secara positif dengan mengambil pengajaran daripada pengurusan projek di negeri lain.
“Saya mengharapkan dengan teguran daripada Ketua Audit Negara ini, kita belajar sesuatu, bahawa satunya kita perlu belajar bagaimana pengurusan di negeri-negeri lain.
“Yang keduanya, teguran audit tersebut perlu diambil tindakan segera,” katanya ketika ditemui media selepas Penyerahan Sumbangan kepada Mangsa Banjir di Kampung Rampayan, di sini pada Khamis.
Tambahnya, kelemahan dalam pengurusan projek akhirnya memberi tekanan kepada kerajaan, sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri.
“Sebab akhirnya yang mendapat tekanan adalah kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri.
“Jadi saya minta supaya pihak JKR, pihak kontraktor, dan agensi-agensi berkaitan mohon pertingkatkan usaha untuk meningkatkan keberkesanan pengurusan projek ini,” tegasnya.
Dalam pada itu, Mustapha berkata, hasil dapatan audit perlu dilaksanakan sebagai langkah penambahbaikan, khususnya memandangkan Projek Pan Borneo Sabah dilaksanakan dalam beberapa fasa.
“Ambil teguran audit ini dengan positif dan melaksanakan hasil-hasil dapatan ini dan kita jadikan pengajaran supaya projek-projek yang akan datang, sebab projek Pan Borneo ini ada beberapa fasa.
“Yang menjadi masalah ini fasa satu dan juga fasa dua. Sekarang ini kita telah juga laksanakan fasa ketiga. Jadi kita harap tidak akan berulang kes-kes seumpamanya,” ujarnya.


