
KUALA LUMPUR – Malaysia menunjukkan kemajuan dalam aspek tadbir urus apabila naik dua anak tangga ke kedudukan ke-40 daripada 133 negara dalam Chandler Good Government Index (CGGI) 2026 berbanding tangga ke-42 tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan itu mencerminkan usaha berterusan kerajaan memperkukuh keupayaan pentadbiran, integriti institusi serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan pencapaian berkenaan tidak seharusnya menjadikan kerajaan leka, memandangkan masih terdapat beberapa aspek yang memerlukan penambahbaikan.
“Pencapaian ini bukan alasan untuk kita berpuas hati. Masih terdapat ruang yang perlu diberikan perhatian, khususnya dalam memperkukuh penyelarasan antara agensi serta memastikan setiap dasar dan perancangan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata, Kerajaan MADANI akan terus memberi tumpuan kepada usaha membina institusi yang teguh, meningkatkan mutu perkhidmatan awam serta memastikan agenda pembangunan memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
Katanya, keberhasilan pentadbiran negara tidak seharusnya dinilai berdasarkan pengiktirafan atau kedudukan dalam indeks antarabangsa semata-mata, sebaliknya melalui perubahan yang dapat dinikmati rakyat.
“Akhirnya, kejayaan sesebuah kerajaan bukan sekadar diukur melalui kedudukan dalam indeks antarabangsa, tetapi melalui perubahan yang dapat dirasai dalam kehidupan rakyat,” katanya.
CGGI menilai prestasi tadbir urus negara berdasarkan tujuh tonggak utama iaitu Kepimpinan dan Pandangan Jauh, Pasaran yang Menarik, Pengurusan Kewangan, Undang-undang dan Dasar yang Teguh, Pengaruh dan Reputasi Global, Membantu Rakyat Meningkat serta Institusi yang Kukuh.
Dalam penarafan 2026, Malaysia berada di belakang China yang menduduki tangga ke-39, Slovakia (38) dan Arab Saudi (37).
Singapura terus mengungguli indeks berkenaan untuk tahun keempat berturut-turut sejak 2023, diikuti Norway di tempat kedua dan Denmark di tempat ketiga.

