
KUANTAN – Kerajaan Pahang telah mengenal pasti mekanisme penyelesaian bagi menangani isu penduduk Orang Asli di Bera, termasuk penyaluran bantuan kepada penduduk yang terkesan dan tidak terlibat dalam operasi penguatkuasaan.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, bantuan disediakan mengikut kategori penduduk terlibat.
“Isu di Bera ini sebenarnya sudah dalam tindakan dan kita telah pun menyediakan jalan penyelesaian, sama ada dari sudut membantu menjana pendapatan Orang Asli yang tidak terlibat dengan penguatkuasaan, mahupun penduduk kampung Orang Asli yang terkesan,” katanya, lapor Pahang Media.
Beliau berkata, mekanisme bantuan kepada penduduk yang terlibat dengan penguatkuasaan juga telah ditetapkan dan akan diagihkan dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan bantuan memerlukan sedikit masa kerana terdapat tujuh kampung Orang Asli yang terlibat dan sebahagiannya belum berdaftar secara rasmi.
“Kita perlu membuat pengukuran dan menyelesaikan proses pendaftaran bagi tujuh kampung Orang Asli yang terlibat sebelum bantuan dapat disalurkan,” katanya.
Mengenai isu tanah adat, Syed Ibrahim menjelaskan, tiada enakmen khusus mengenainya dan tanah berkenaan hanya diiktiraf sebagai tanah adat setelah diwartakan.
Beliau berkata demikian ketika mencelah perbahasan Ahli Dewan Undangan Negeri Semambu, Chan Chun Kuang pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang.


