KEKALAHAN Pakatan Harapan (PH) di Melaka sepatutnya menjadi amaran keras kepada sebuah kerajaan yang masih memegang kuasa di Putrajaya, tetapi semakin sukar meyakinkan rakyat di peti undi. Empat kekalahan berturut-turut di Sabah, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka bukan lagi sesuatu yang boleh disembunyikan di sebalik alasan bahawa pilihan raya negeri mempunyai dinamika tersendiri.
Apabila pola kekalahan berulang, masalahnya bukan lagi semata-mata calon, jentera atau sentimen setempat. Mungkin masalahnya terletak pada PH sendiri.
Di Melaka, PH hanya memperoleh 4 daripada 28 kerusi. Kesemuanya dimenangi DAP, sedangkan PKR dan Amanah gagal memenangi sebarang kerusi. Hal Ini bukan sekadar kehilangan kerusi, tetapi persoalan terhadap kemampuan PH mempertahankan pengaruh politiknya khususnya dalam kalangan pengundi Melayu di kawasan luar bandar, campuran dan bandar.
BN-PN dilihat sempurna dalam mengemudi undi Melayu ketiga-tiga PRN ini. Perpindahan undi BN kepada PN dan PN kepada BN dilihat signifikan untuk memastikan kerusi-kerusi yang mempunyai majoriti pengundi Melayu pergi berpindah dari PH ke BN-PN.
Apa sudah jadi? Wajarkah salahkan pengundi?
Pertama, PH perlu berhenti menganggap rakyat tidak memahami apa yang kerajaan lakukan. Rakyat mungkin memahami, tetapi memahami tidak sama dengan berpuas hati atau segala apa yang kerajaan laksanakan tidak dirasai atau sampai kepada rakyat di bawah.

Saya mengikuti rapat pembentangan ILHAM Centre baru-baru ini, beberapa kritikan yang harus pimpinan PH di peringkat Pusat, Negeri dan Kawasan wajar untuk renungi.
Saya kira pandangan yang disampaikan oleh Nazri Kahar yang menyatakan bahawa jentera Barisan Nasional dan Perikatan Nasional lebih bersedia dan memenuhi keperluan orang ‘𝘭𝘰𝘤𝘢𝘭’ berbanding Pakatan Harapan yang dilihat kurang bersedia dan dibanjiri jentera luar. Hal ini sebenarnya merupakan teguran yang wajar untuk PH terima dan akui. Perubahan perlu dilaksanakan dengan kadar segera di setiap peringkat untuk memperkukuh akar umbi berbanding memenuhkan kerusi-kerusi empuk di jawatan atasan.
Selain itu, kritikan yang disinggung oleh Hisomuddin Bakar perihal PH umpama Naga Kepala Tiga di mana memakai label harapan tetapi bergerak masih lagi menggunakan kekuatan parti masing-masing.
Tidak seperti BN dan PN yang dilihat konsisten menggunakan label dan gerak kerja yang bersepadu sebelum pilihan raya lagi. Hal ini sebenarnya sudah berlaku sejak di Johor lagi, PH harus mempunyai satu sinergi yang berkesan untuk menggerakkan jenama Harapan dengan lebih membumi.
Mana mungkin kalau kawasan tersebut PKR bertanding, jemput lah DAP dan Amanah untuk bermesyuarat dan menggerakkan kawasan sekali. Hal ini masih dilihat lompong dalam PH. Sudah 3 tahun memerintah, tetapi hal seumpama ini masih lagi perlu diatur dan diperingat.
Penurunan undi popular
Berdasarkan undi popular PRN Melaka memperlihatkan masalah ini dengan lebih jelas.
Pada 2021, PH memperoleh 114,457 undi atau 35.80 peratus. Pada 2026, jumlah undinya meningkat kepada 143,273 undi tetapi bahagian undi popular merosot kepada 29.3 peratus. PH kehilangan 6.49 mata peratus walaupun memperoleh hampir 29,000 undi tambahan.
Sebaliknya, blok BN-PN memperoleh 200,472 undi atau 62.70 peratus pada 2021. Pada 2026, jumlah undi mereka meningkat kepada 308,668 undi bersamaan 63.16 peratus. Peningkatannya hanya 0.46 mata peratus.
Angka ini memberikan satu gambaran yang lebih penting.
PH bukan semata-mata kalah kerana blok BN-PN menjadi jauh lebih besar dari segi bahagian undi popular. PH sendiri sedang kehilangan kedudukan relatif dalam persaingan. Masalahnya bukan sekadar lawan semakin kuat, tetapi PH semakin gagal mempertahankan bahagian undi yang pernah dimilikinya.
Pada hemat saya, sekiranya senario BN-PN berlaku pada PRU16 Parlimen Alor Gajah dan Parlimen Hang Tuah Jaya akan dirampas oleh BN-PN dan PH hanya berjaya mempertahankan Parlimen Kota Melaka sahaja di Melaka.
Hal ini sebenarnya menggusarkan. Seharusnya PH ada formula yang lebih berkesan untuk menangkis senario ini berlaku.
Namun begitu, di sebalik kritikan yang menggunung terhadap PH. Saya boleh katakan bahawa keberadaan calon-calon muda seperti Mukhlis Mubin dan Farzana Hayani sudah tentu memberikan wajah baharu buat masa hadapan PH.
Peningkatan undi yang signifikan di DUN Kuala Linggi dari 1,718 undi pada PRN Melaka 2021 kepada 2,877 undi pada PRN Melaka 2026 memberikan tamparan baharu bahawa calon muda juga sebenarnya memberikan impak. Peningkatan sebanyak 1,159 undi.
Kita akui pelbagai kelemahan perlu diperbaiki tetapi keberadaan Mukhlis sebenarnya memberi harapan baru buat Kuala Linggi pada masa akan datang. Syabas buat PH.
Adakah DAP beban kepada PH?
Selain itu, persoalan sama ada DAP menjadi liabiliti kepada PH juga perlu dijawab secara jujur.
DAP mempertahankan 4 kerusi yang ditandinginya, sedangkan PKR dan Amanah gagal memperoleh sebarang kemenangan. Jika DAP ialah punca utama masalah PH, bagaimana parti itu menjadi satu-satunya komponen yang menyelamatkan gabungan tersebut?
Namun, mempertahankan kubu bukan sama dengan memperluas pengaruh.
DAP juga perlu keluar daripada zon selesa dan membantu PH menembusi kelompok pengundi yang lebih luas.
PKR, khususnya sebagai parti Perdana Menteri dan Amanah pula perlu menjelaskan kegagalan mereka membina kekuatan sendiri. PH tidak boleh terus menjadikan DAP sebagai kambing hitam setiap kali gagal meraih undi Melayu.
Walhal DAP juga harus sedar bahawa menyentuh isu-isu yang melibatkan sensitiviti orang Melayu Islam seperti kenyataan YB Khoo Phoay Tiong (Ahli Parlimen Kota Melaka) baru-baru ini yang mempersoalkan arahan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) supaya premis perniagaan berhenti beroperasi antara 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap hari Jumaat sebenarnya menambah beban PH.
Naratif PH sedang dimurnikan tetapi tindakan tidak berakal ini membuatkan orang Melayu-Islam lebih ramai menjauh daripada PH. Hal seumpama ini yang perlu berhati-hati. Kita boleh bersetuju DAP memberikan kerusi kemenangan kepada PH, tetapi dalam aspek ini ia tidak menjadi begitu.
Masa depan PH
PH kini mempunyai dua pilihan besar menjelang PRU16.
Pertama, terus mempertahankan prestasi kerajaan dan berharap ekonomi akan menyelamatkan undi.
Kedua, mengakui krisis, membetulkan hala tuju dan membina semula hubungan dengan rakyat semula.
Pilihan pertama mungkin memberikan kelegaan sementara tetapi pilihan kedua mampu menawarkan survival politik yang lebih panjang. Kedua-duanya menguji kesetiaan pengundi.
Niccolò Machiavelli pernah mengingatkan bahawa manusia lebih mudah melupakan kehilangan seorang ayah daripada kehilangan harta. Politik mungkin keras, tetapi realiti rakyat lebih keras. Kesetiaan kepada parti tidak akan sentiasa mengatasi tekanan ekonomi dan kehidupan seharian.
PH tidak perlu takut kepada kekalahan.
Yang lebih menakutkan ialah apabila kekalahan datang berulang kali, tetapi PH masih tidak percaya dan tidak lakukan apa-apa.
*Fadhli Umar Aminolhuda ialah Exco Pemuda Amanah Nasional
