Amizar Abu Adam
KUANTAN – Lebih 3,600 usahawan mikro dan kecil di Pahang menerima manfaat pelbagai inisiatif bantuan dan pembiayaan kerajaan termasuk geran serta skim pembiayaan agensi berkaitan sepanjang 2025 dan 2026.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM800,000 pada 2025 menerusi Program Geran Usahawan Makmur Pahang yang memberi manfaat kepada 80 usahawan.
Katanya, bagi tahun ini peruntukan ditingkatkan kepada RM1.5 juta, dengan RM596,000 sudah disalurkan kepada 132 penerima sehingga Oktober lalu.
“Baki peruntukan sebanyak RM904,000 dijangka dapat dimanfaatkan oleh kira-kira 100 usahawan lagi menjelang akhir tahun 2026,” katanya., seperti dilapor Pahang Media.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, Datuk Abdul Aziz Mat Kiram pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Menurutnya, program berkenaan menyediakan bantuan one-off bagi membantu usahawan meningkatkan kapasiti pengeluaran, membeli peralatan, menaik taraf premis serta memperkukuh strategi pemasaran termasuk pendigitalan perniagaan.
Selain geran, kerajaan negeri turut memperluas akses pembiayaan menerusi kerjasama dengan agensi pusat termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad.
“MARA menyediakan 10 skim pembiayaan yang disalurkan kepada 363 usahawan di Pahang,” katanya.
Tambahnya, Tekun Nasional pula menyediakan sembilan skim utama yang memberi manfaat kepada kira-kira 2,956 usahawan, manakala AIM membantu 28,445 usahawan di negeri ini.
Menjawab soalan tambahan ADUN Luit, Datuk Mohd Sofian Abd Jalil berhubung perlindungan bagi peniaga kecil yang berdepan persaingan pasaran terbuka dan perniagaan dalam talian, Amizar berkata, kerajaan negeri memberi penekanan kepada usaha meningkatkan keupayaan usahawan menyesuaikan perniagaan dengan teknologi termasuk penggunaan sistem jualan digital dan kecerdasan buatan.


