
KOTA KINABALU – Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) terus memperkukuh gerak kerja organisasi serta meningkatkan pendekatan mendekati golongan muda bagi memastikan sokongan terhadap parti dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus diperkasakan.
Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Datuk Azrul Ibrahim berkata, langkah ini penting bagi memastikan kekuatan dan keupayaan parti terus diperkasakan di setiap peringkat.
“Mesyuarat turut membincangkan perancangan dan pendekatan pemuda dalam menyantuni pelbagai segmen anak muda di negeri ini, sekaligus meningkatkan sokongan golongan muda terhadap Gagasan Rakyat dan GRS.
“Sehubungan itu, Pemuda Gagasan Rakyat akan mempergiatkan pelaksanaan program serta siri libat urus di peringkat akar umbi bagi mendengar, memahami dan mengangkat aspirasi anak muda,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Mesyuarat Pimpinan Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau berkata, mesyuarat tersebut turut memberi perhatian kepada isu-isu asas rakyat khususnya yang berkaitan dengan air, jalan raya, dan elektrik.
“Pemuda mengambil maklum perkembangan serta progres pelaksanaan projek-projek berkaitan yang sedang dilaksanakan dan dijangka diselesaikan secara berperingkat dalam tempoh yang ditetapkan.
“Dalam hal ini, Pemuda Gagasan Rakyat akan terus berperanan sebagai jambatan antara suara rakyat dengan pihak kerajaan.
“Kita bukan sahaja mahu memastikan projek-projek infrastruktur disiapkan mengikut jadual, malah isu dan kesulitan rakyat sementara menunggu penyelesaian projek berkenaan juga perlu ditangani secara lebih proaktif,” tegasnya.
Terdahulu, seramai 67 Pemuda Gagasan Rakyat menerima watikah pelantikan yang terdiri daripada 25 Ketua Pemuda Bahagian dan 42 Pemuda Exco.

