
DARO – Impian penduduk Pulau Bruit dan kawasan sekitarnya untuk menikmati jaringan perhubungan darat yang sempurna bakal menjadi kenyataan apabila Jambatan Batang Paloh yang bernilai RM289 juta dijadualkan dibuka secara rasmi kepada awam pada 30 Oktober ini.
Penyempurnaan tuangan konkrit bagi segmen terakhir jambatan sepanjang 1.7 kilometer itu menjadi simbolik penting dalam melengkapkan jajaran utama Lebuhraya Pesisir Sarawak.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo berkata, projek berkenaan kini memasuki fasa terakhir sebelum ia sedia digunakan sepenuhnya oleh orang ramai.
“Hanya tinggal tiga minggu lagi untuk pihak kontraktor menyiapkan baki kerja-kerja pembinaan seperti penurapan jalan dan kemasan fizikal jambatan.
“Apa yang paling membanggakan, pembinaan jambatan ini mencatatkan rekod keselamatan cemerlang dengan 1.93 juta jam bekerja tanpa sebarang kemalangan,” katanya ketika mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Penyambungan Jambatan Batang Paloh, pada Khamis.
Sebagai rekod, projek infrastruktur tersebut turut melibatkan kerja pembinaan jalan raya sepanjang 2.89 kilometer masing-masing di kawasan Serdeng dan Pulau Bruit.

Aidel menambah, pembukaan jambatan tersebut kelak akan melengkapkan jaringan laluan darat yang menghubungkan Bahagian Mukah, Sarikei, Sibu hingga ke Kuching menerusi laluan alternatif yang lebih singkat dan efisien.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol menyifatkan pembinaan jambatan berkenaan bertindak sebagai ‘sistem saraf’ yang penting bagi merancakkan sosioekonomi penduduk tempatan, sekali gus berupaya membendung masalah penghijrahan warga luar bandar ke bandar.
“Selain mempercepatkan pergerakan logistik hasil tani dan laut ke pasaran, struktur jambatan ini turut dimanfaatkan untuk merentaskan paip air utama berskala besar terus ke Pulau Bruit demi mengatasi isu bekalan air.
“Sebaik sahaja jambatan ini dibuka kelak, perkhidmatan feri sedia ada akan ditamatkan operasinya secara automatik,” tegasnya.
Turut hadir pada majlis bersejarah itu ialah ADUN Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh; Ahli Parlimen Tanjong Manis, Datuk Ir Yusuf Abd Wahab; serta ADUN Daro, Dr Safiee Ahmad.








