
SANDAKAN – Seorang lelaki tempatan ditahan selepas 945 liter minyak petrol yang disimpan dalam 30 tong jerikin dirampas di sebuah premis tidak bernombor di atas air di Kampung Tinusa, di sini, awal pagi Rabu.
Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, operasi itu dijalankan menerusi Op Sejahtera 1/2022, Op Khas Cegah PATI (OCP) Utara dan Op Tiris 4.0.
Menurutnya, pasukan operasi menerima aduan awam berhubung aktiviti pemunggahan tong jerrycan yang disyaki mengandungi petrol di kawasan berkenaan.
“Bertindak berdasarkan maklumat tersebut, pasukan operasi menuju ke lokasi sebelum mengesan sebuah premis tidak bernombor di atas air.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 30 tong jerrycan di dalam premis berkenaan yang dipercayai mengandungi petrol,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Beliau berkata, seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun ditahan kira-kira jam 12.35 pagi bagi membantu siasatan.
“Kesemua barang kes dan individu berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Zon Sandakan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.
“Sebanyak 945 liter minyak petrol yang disimpan dalam 30 tong jerrycan itu, dianggarkan bernilai RM4,400, dirampas bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki memiliki dan menyimpan barang kawalan berjadual iaitu petrol bersubsidi tanpa permit atau kebenaran yang sah.
Maritim Malaysia akan terus mempergiat penguatkuasaan di perairan negara bagi membanteras kegiatan penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan, khususnya bahan api bersubsidi, demi memastikan bekalan serta kepentingan masyarakat terus terpelihara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Sandakan.

