
KUALA LUMPUR – Kerajaan memperketatkan proses saringan dan pengesahan terhadap pelarian serta tahanan warganegara Myanmar sebelum mereka dihantar pulang bagi memastikan hanya individu yang disahkan kewarganegaraannya dibawa kembali ke negara asal.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, setiap individu yang terbabit dalam Program Penghantaran Pulang Fasa Pertama di Lumut, Perak pada 29 September lalu melalui proses pengenalpastian kewarganegaraan, dokumentasi, pemeriksaan kesihatan dan semakan identiti.
Menurutnya, senarai nama individu berkenaan turut disahkan kerajaan Myanmar sebelum dikemukakan kepada Malaysia menerusi Nota Diplomatik bertarikh 13 Ogos lalu.
“Kerajaan memastikan proses penghantaran dibuat secara selamat, teratur, bertanggungjawab dan bermaruah berdasarkan proses serta prosedur yang dipersetujui antara kedua-dua negara,” menurut KDN dalam dokumen Soalan Lazim (FAQ) berkaitan program itu.
KDN berkata, pelaksanaan program berkenaan penting berikutan jumlah tahanan warganegara Myanmar yang tinggi di Malaysia, dengan 11,804 orang direkodkan berada di Depot Tahanan Imigresen (DTI) dan Baitul Mahabbah di seluruh negara setakat 31 Ogos lalu.
Katanya, jumlah tahanan yang tinggi serta tempoh penahanan yang panjang memberi tekanan kepada kapasiti depot dan meningkatkan kos operasi kerajaan.
“Program Penghantaran Pulang ini adalah sebahagian daripada pendekatan kerajaan dalam menangani migrasi tidak teratur dan pendatang tanpa izin menerusi penguatkuasaan undang-undang, pengurusan tahanan serta penghantaran pulang ke negara asal secara tersusun, selamat dan bertanggungjawab,” katanya.
Dalam fasa pertama pada 29 September lalu, seramai 1,476 tahanan warganegara Myanmar dihantar pulang menggunakan tiga kapal Tentera Laut Myanmar, termasuk sebuah kapal hospital.
Operasi berkenaan membabitkan tahanan dari 14 DTI di seluruh negara, dengan jumlah tertinggi dari Depot Belantik di Kedah dan Depot Tanah Merah di Kelantan.
KDN berkata, program itu dilaksanakan secara berperingkat menerusi kerjasama dua hala Malaysia-Myanmar, dengan kerajaan Myanmar menyatakan komitmen untuk menerima kepulangan 5,000 warganya sepanjang 2026.
Bagi fasa kedua pula, sebanyak 3,524 tahanan Myanmar dipersetujui untuk dihantar pulang secara sukarela ke negara asal.
KDN bertindak sebagai penyelaras program, manakala Jabatan Imigresen Malaysia menjadi agensi operasi utama dengan kerjasama Kementerian Luar, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pertahanan, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan agensi keselamatan berkaitan.
Sebelum dihantar pulang, proses akhir bagi fasa pertama dilaksanakan di Stadium Daerah Manjung sebelum tahanan dibawa ke Pangkalan TLDM Lumut untuk menaiki kapal ke Myanmar.








