
MUAR – Kemudahan papan pintar (Smart Board) dan 20 unit tablet iPad yang disalurkan menerusi Inisiatif Sekolah Angkat MADANI oleh Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Abu Bakar (1), di sini, diyakini mampu meningkatkan minat murid terhadap pembelajaran berasaskan teknologi digital.
Guru sekolah berkenaan, Nur Humaira Azhar berkata, penggunaan teknologi interaktif dalam sesi pembelajaran berupaya menarik tumpuan murid yang kini membesar dalam persekitaran serba digital.
Katanya, murid didapati lebih berminat apabila dapat berinteraksi secara langsung dengan bahan pembelajaran menerusi teknologi berbanding kaedah konvensional menggunakan buku dan pen.
“Generasi sekarang memang dibesarkan dengan teknologi. Jadi, berbanding buku dan pen, mereka lebih suka apabila dapat memegang, menyentuh, mendengar bunyi dan menggunakan bahan pembelajaran yang lebih interaktif.
“Justeru, saya berharap guru-guru dan murid dapat memanfaatkan kemudahan Smart Board yang diberikan ini sebaik mungkin,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) di sini, hari ini.
Beliau berkata, warga pendidik juga perlu diberikan pendedahan serta mempelajari kaedah penggunaan kemudahan berkenaan bagi memastikan teknologi itu dapat dimanfaatkan secara optimum dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Pada masa sama, katanya, murid perlu memikul tanggungjawab menjaga semua peralatan yang disumbangkan supaya kemudahan berkenaan dapat digunakan dalam tempoh yang panjang.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada JKOM, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta semua pihak yang terbabit dalam menjayakan penyaluran sumbangan berkenaan.
“Terima kasih kepada pihak JKOM, PMX dan semua pihak yang terbabit dalam menguruskan sumbangan ini kepada sekolah kami kerana ia amat membantu warga sekolah,” katanya.
Menerusi inisiatif berkenaan, sebanyak RM75,000 diperuntukkan bagi menaik taraf Pusat Sumber Sekolah (PSS) kepada persekitaran pembelajaran moden berkonsepkan Bilik Pintar (Smart Room) dan Bilik Tayang.
Peruntukan terbabit merangkumi pembelian sebuah Smart Board bersaiz 86 inci bernilai RM28,000, 20 unit Apple iPad 11 inci bernilai RM44,000 serta sebuah stesen pengecasan bernilai RM3,000.
Selain itu, peruntukan berjumlah RM25,000 turut disalurkan bagi menaik taraf Dewan Bitara sekolah berkenaan menerusi pembekalan dan pemasangan sebuah skrin digital LED dalam bangunan (indoor).
Kemudahan berkenaan dijangka menjadikan penyampaian maklumat ketika perhimpunan, ceramah, majlis rasmi dan program pembangunan murid lebih jelas, interaktif serta profesional, memandangkan Dewan Bitara merupakan lokasi utama bagi pelbagai penganjuran aktiviti sekolah.
Secara keseluruhannya, kedua-dua kemudahan itu bermatlamat meningkatkan prasarana sekolah menerusi pemerkasaan teknologi digital, sekali gus mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih moden dan kondusif.



