
KOTA KINABALU – Pakatan Harapan (PH) Sabah menyokong usaha mengekalkan kerjasama politik antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Barisan Nasional (BN) dan PH dalam kerajaan negeri bagi memastikan kestabilan politik serta kesinambungan agenda pembangunan Sabah.
Pengerusinya, Datuk Ir Mustapha Sakmud berkata, pendirian itu selari dengan pandangan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang mahu kerjasama antara ketiga-tiga gabungan politik berkenaan diteruskan.
“Kestabilan politik menjadi asas penting bagi membolehkan kerajaan negeri dan Persekutuan memberikan tumpuan kepada keperluan rakyat, khususnya penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas.
“Keutamaan ketika ini adalah memastikan bekalan air dan elektrik lebih terjamin, memperbaiki keadaan jalan raya serta memastikan projek tebatan banjir disiapkan mengikut jadual,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini pada Isnin.
Menurut Mustapha, beliau menegaskan kerjasama antara Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membawa perkembangan positif, termasuk peningkatan pemberian khas interim Sabah kepada RM1.5 bilion bagi 2026.
“Selain itu, hak Sabah terhadap pemberian khas 40 peratus hasil bersih Persekutuan turut diperakui untuk diselesaikan berdasarkan peruntukan Perlembagaan.
“Perkembangan berkenaan menunjukkan kepentingan kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan dalam memastikan isu berkaitan hak serta kepentingan Sabah terus diberi perhatian,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mustapha menyifatkan kesediaan Hajiji meneruskan kerjasama politik bersama PH dan BN sebagai pendirian yang mengutamakan penyatuan meskipun wujud perbezaan pandangan politik.
“Kepentingan rakyat Sabah perlu terus menjadi keutamaan dalam landskap politik yang semakin dinamik.
“Sementara itu, PH Sabah berharap kerjasama berkenaan dapat diteruskan bagi memastikan kestabilan pentadbiran, kelancaran pelaksanaan projek pembangunan serta penyampaian perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat,” jelasnya.


