
KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah, Datuk Jamawi Jaafar mengalami kecederaan di kepala selepas tergelincir di tandas berhampiran ruang menunggu VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, pagi Isnin.
Beliau berkata, kejadian berlaku ketika menggunakan tandas berhampiran Bilik Bunga Mawar apabila permukaan lantai yang licin menyebabkan beliau tergelincir sebelum kepala terhentak ke lantai.
“Ada kawan kawan yang nampak saya di KLIA dengan tuala berdarah menutupi kepala pagi tadi whatsapp dan call tanya apa yang berlaku.
“Sebenarnya berlaku kemalangan kecil ketika saya menggunakan tandas berhampiran Bilik Bunga Mawar di ruang menunggu VIP KLIA. Permukaan tandas yang licin menyebabkan saya tergelincir dan kepala terhentak ke lantai,” katanya dalam satu kenyataan Facebook miliknya, pada Isnin.
Susulan kejadian itu, beliau mendapatkan rawatan di Menara Medical Clinics KLIA termasuk menerima jahitan pada bahagian kepala, selain merakamkan penghargaan kepada doktor dan jururawat yang bertugas atas rawatan serta layanan diberikan.

Dalam pada itu, Jamawi berkata beliau telah menasihatkan pegawai dan kakitangan Malaysia Airports supaya melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan permukaan tandas serta menyediakan laluan kecemasan ke klinik berhampiran KLIA.
“Latihan juga harus diberikan kepada kakitangan agar langkah-langkah awal rawatan kecemasan dapat dilaksanakan,” kongsi beliau.
Beliau turut memaklumkan akan meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu pada pukul 1.05 tengah hari ini selepas melalui perjalanan jauh dari Brasilia, Sao Paulo dan Doha sebelum tiba di KLIA.
Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada Tan Sri Annuar Musa, Datuk Yusuf Apdal serta rakan-rakan lain yang menghubunginya menerusi WhatsApp dan panggilan telefon selepas melihat keadaannya di KLIA, pagi tadi.



