
PAKATAN Harapan (PH) Negeri Sembilan mendesak semua pihak dalam Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) segera menghentikan pertelingkahan politik, menghormati proses perlembagaan serta memastikan pentadbiran negeri kembali berfungsi dengan teratur.
Majlis Pimpinan Negeri Pakatan Harapan Negeri Sembilan (MPNPH) berkata, negeri itu bukan milik mana-mana parti politik untuk dijadikan medan perebutan kuasa, sebaliknya kepentingan rakyat dan penghormatan terhadap institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir perlu diutamakan.
“Malangnya, perkembangan mutakhir memperlihatkan pertikaian politik masih belum menemui jalan penyelesaian yang meyakinkan dan sudah lebih 100 hari Negeri Sembilan dibelenggu ketidaktentuan politik dan pentadbiran.
“Sepanjang tempoh tersebut, perhatian rakyat terus diheret kepada pergelutan dalaman UMNO dan perebutan kedudukan dalam kerajaan BN-PN,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

MPNPH berpandangan, keadaan itu telah menjejaskan keutamaan pentadbiran negeri serta menimbulkan kebimbangan terhadap kelancaran urusan kerajaan.
“Rakyat memberikan mandat untuk bekerja dan menyelesaikan masalah mereka, bukannya untuk menyaksikan pertelingkahan politik yang tidak berkesudahan.
“Lebih mengecewakan, mesyuarat melibatkan 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN-PN yang sepatutnya membuka jalan kepada penyelesaian kemelut ini telah memperlihatkan bahawa arahan serta ketetapan kepimpinan parti masih menjadi sandaran utama dalam menentukan pendirian mereka,” katanya.
Katanya, terdapat percanggahan antara kenyataan kepimpinan tertinggi BN dengan perkembangan politik di peringkat negeri, khususnya apabila Presiden UMNO menyatakan penyelesaian kemelut berkenaan perlu diserahkan kepada kebijaksanaan Tuanku Muhriz.
“Namun, pertelingkahan berhubung kedudukan Menteri Besar masih berterusan dan keadaan ini menimbulkan persoalan besar mengenai kesungguhan BN-PN untuk menoktahkan kemelut tersebut,” katanya.
MPNPH turut membangkitkan kebimbangan terhadap ketidaktentuan politik yang berlaku ketika negeri bakal menghadapi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2027.
Menurutnya, belanjawan negeri bukan sekadar dokumen kewangan kerajaan, sebaliknya melibatkan peruntukan pembangunan, kebajikan rakyat, kemudahan awam dan kelangsungan ekonomi negeri.
“Jangan sampai pertelingkahan politik BN-PN menyebabkan kepentingan serta masa depan rakyat Negeri Sembilan terus terabai,” katanya.
PH Negeri Sembilan turut menegaskan pendiriannya untuk terus menjunjung kedaulatan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta menghormati kedudukan dan kewibawaan Institusi Undang Yang Empat yang sah di luak masing-masing.
Katanya, pendirian itu selaras dengan adat, undang-undang dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, selain berpaksikan prinsip kedaulatan institusi diraja, keluhuran perlembagaan dan kestabilan negeri.
“Rakyat Negeri Sembilan semakin bosan dengan pertelingkahan, percanggahan kenyataan dan sandiwara politik yang tidak berkesudahan.
“Segala tindakan dan keputusan yang berlaku sepanjang kemelut ini akan terus menjadi penilaian rakyat terhadap keupayaan BN-PN memikul amanah pemerintahan,” katanya.


