PN semakin berserabut, Pas perlu jawab keupayaan pimpin gabungan

PERKEMBANGAN terkini dalam Perikatan Nasional (PN), khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, menimbulkan persoalan besar yang perlu dijawab oleh Pas, iaitu sama ada parti itu benar-benar berkeupayaan memimpin sebuah gabungan politik yang besar dan kompleks.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mahfuz Omar berkata, isu yang berlaku dalam PN ketika ini bukan lagi sekadar berkaitan penggunaan logo, sebaliknya menyentuh soal kepimpinan, penyatuan dan hala tuju gabungan berkenaan.

Menurut beliau, selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengeluarkan perintah penggantungan terhadap aktiviti PN, timbul pula persoalan mengenai penggunaan logo gabungan itu dalam PRN Melaka, selain parti-parti komponen dilihat masih mencari formula masing-masing.

“Lebih menarik, Pas sendiri kini berdepan persoalan mengenai penggunaan logo, kedudukan parti komponen dan hala tuju bersama.

“Apabila Pas mengambil alih kepimpinan PN daripada Bersatu, persoalannya, adakah PN menjadi semakin kukuh atau semakin berselerak?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahfuz berkata, beliau tidak mahu menuduh semua masalah yang berlaku dalam PN berpunca daripada Pas, namun rakyat berhak menilai hasil kepimpinan yang ditampilkan.

Katanya, kepimpinan bukan sekadar mengenai siapa yang berada di kerusi hadapan, tetapi kemampuan memastikan semua pihak bergerak menuju destinasi yang sama.

“Hari ini, bendera pun belum jelas, logo masih dipersoalkan dan arah perjalanan pula belum benar-benar meyakinkan.

“Pas sering tampil dengan keyakinan bahawa mereka paling layak memimpin umat Melayu dan Islam serta negara.

“Namun persoalannya mudah, jika memimpin sebuah gabungan pun gagal memberikan keyakinan mengenai arah dan penyatuan, bagaimana mahu meyakinkan rakyat bahawa mereka bersedia memimpin sebuah negeri, apatah lagi negara?” katanya.

Dalam pada itu, Mahfuz menyifatkan PN sebagai sebuah kapal besar yang ketika ini dilihat belum bersedia untuk belayar kerana anak kapalnya sendiri masih berbeza pandangan mengenai bendera dan destinasi yang hendak dituju.

Beliau turut mengingatkan agar masalah dalaman PN tidak dijadikan alasan untuk menyalahkan kerajaan.

“Kalau masalah itu berlaku dalam rumah sendiri, selesaikanlah masalah dalam rumah sendiri. Jangan salahkan jiran kerana nampak dinding rumah kita retak.

“Jangan marah kepada cermin kerana menunjukkan muka yang penuh jerawat batu. Cermin tidak mencipta jerawat, cermin hanya menunjukkan apa yang ada,” katanya.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, RoS tidak seharusnya dipersalahkan sekiranya berlaku pertikaian dalaman dalam PN kerana segala persoalan berkaitan pendaftaran, logo dan tatacara organisasi boleh diselesaikan melalui saluran undang-undang serta proses yang tersedia.

“Jika ada pertikaian antara parti komponen, ia perlu diselesaikan oleh kepimpinan PN sendiri.

” Jika ada persoalan mengenai pendaftaran, logo atau tatacara organisasi, gunakan saluran undang-undang dan proses yang tersedia,” katanya.

Mengenai isu Qunut Nazilah yang pernah dibacakan Ahli Parlimen Jasin daripada Pas, Mahfuz berkata, beliau tidak mahu membuat kesimpulan bahawa kecelaruan politik yang berlaku ketika ini mempunyai kaitan dengan doa berkenaan.

“Doa dan penerimaan Allah bukan urusan manusia untuk menentukan. Namun satu perkara yang perlu saya katakan, doa boleh memohon petunjuk tetapi kepimpinan tetap memerlukan arah.

“Doa boleh memohon kekuatan, tetapi organisasi tetap memerlukan kebijaksanaan. Jangan pula kelemahan dalam membuat keputusan politik disandarkan kepada takdir,” katanya.

Mahfuz berkata, rakyat Melaka pada akhirnya bukan hanya mahu mengetahui logo yang akan digunakan dalam PRN, sebaliknya mahu mengetahui siapa yang memegang kemudi dan ke mana kapal politik itu hendak dibawa.

“Kalau Pas benar-benar mahu memimpin PN, inilah masanya membuktikan bahawa mereka mampu menyatukan, bukan mengeruhkan; menentukan arah, bukan menambah kekeliruan; serta membina keyakinan, bukan sekadar membina slogan.

“Mudah bercakap tentang memimpin umat. Tetapi sebelum mahu memimpin negara, tunjukkan dahulu bahawa sebuah gabungan sendiri mampu dipimpin dengan tenang, jelas dan tersusun,” katanya.

Beliau berkata, rakyat tidak seharusnya diminta menyerahkan kemudi negeri kepada pihak yang masih bertelagah dalam menentukan bendera kapalnya.

“Jangan minta rakyat menyerahkan kemudi negeri kepada mereka yang masih bertelagah menentukan bendera kapalnya,” katanya.

Related Posts

Chean Chung letak jawatan, kerusi Petaling Jaya kosong

KUALA LUMPUR – Kerusi Parlimen Petaling Jaya kini secara rasmi kosong selepas penyandangnya, Lee Chean Chung, meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Rakyat berkuat kuasa Jumaat lalu. Timbalan Yang di-Pertua Dewan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
UMNO ulangi kesilapan lalu, Zahid mungkin tanggung padah

UMNO didakwa mengulangi kesilapan strategi politik lalu apabila terlalu awal menggunakan kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai momentum untuk mendesak Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). Bagaimanapun, Presiden parti itu,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

PN semakin berserabut, Pas perlu jawab keupayaan pimpin gabungan

PN semakin berserabut, Pas perlu jawab keupayaan pimpin gabungan

Tahanan Myanmar melalui saringan ketat sebelum dihantar pulang – KDN

Tahanan Myanmar melalui saringan ketat sebelum dihantar pulang – KDN

Empat blok 20 pintu, sebuah rumah musnah dijilat api

  • By Fatin
  • October 6, 2026
Empat blok 20 pintu, sebuah rumah musnah dijilat api

Buruh positif dadah ditahan di tepi Jalan Kubu

Buruh positif dadah ditahan di tepi Jalan Kubu

Baru seminggu jadi ejen judi dalam talian, wanita ditahan di Kabong

Baru seminggu jadi ejen judi dalam talian, wanita ditahan di Kabong

Kadar dadah SG4 jauh melebihi nasional, kerajaan negeri perlu bentang hasil pencegahan

Kadar dadah SG4 jauh melebihi nasional, kerajaan negeri perlu bentang hasil pencegahan