
KOTA KINABALU – Gerakan koperasi di Sabah perlu lebih kreatif, pantas menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi serta berani meneroka peluang perniagaan baharu bagi memastikan kelangsungan dan daya saing sektor itu.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, koperasi tidak boleh terus bergantung kepada aktiviti perniagaan sedia ada, sebaliknya perlu melihat ke hadapan dengan mempelbagaikan bidang perniagaan mengikut perkembangan semasa.
“Ketidaktentuan ekonomi global dan geopolitik dunia turut memberi cabaran kepada gerakan koperasi, khususnya dari segi peningkatan kos operasi.
“Jadi, mereka kena lebih kreatif dan pantas untuk meneroka aktiviti perniagaan yang lain. Jangan hanya berada dalam aktiviti yang sama, sebaliknya perlu bijak menyesuaikan diri dengan perubahan masa.
“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan terus memperluas peluang kepada koperasi menerusi akses dana pembiayaan, program pembangunan kapasiti serta bantuan untuk menembusi pasaran baharu,” katanya dalam sidang media dalam program CEO Talk anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa), di Sabah International Convention Centre (SICC),Kota Kinabalu Sabah,hari ini.
Menurut Alamin, program seperti CEO Talk menjadi platform strategik untuk menyediakan maklumat, bimbingan dan khidmat konsultasi berterusan bagi membantu koperasi meningkatkan keupayaan pengurusan serta memastikan perniagaan mereka terus berdaya maju.
Dalam pada itu, Alamin menggalakkan koperasi supaya tidak bergerak secara bersendirian atau silo, sebaliknya membina kerjasama strategik dengan koperasi lain dan agensi berkaitan bagi membuka lebih banyak peluang perniagaan.
“Saya mengambil contoh Koperasi Pelayaran Sabah yang menjalinkan kolaborasi dengan koperasi lain di Sabah dan Semenanjung Malaysia bagi meneroka peluang serta aktiviti perniagaan secara bersama.
“Sabah mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan, perladangan, pertanian, perikanan dan peruncitan yang boleh dimanfaatkan menerusi kerjasama strategik antara koperasi.
“KUSKOP akan memperkukuh kerjasama dengan kerajaan negeri Sabah melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MINDET), selain mempergiat jaringan antara koperasi serta agensi berkaitan,” tegasnya.
Alamin yakin ekosistem kerjasama yang lebih kukuh mampu memberikan koperasi akses lebih luas kepada pembiayaan, program pembangunan kapasiti dan peluang pasaran.
Dalam perkembangan sama, Alamin turut menggalakkan koperasi memanfaatkan portal Hebatkan Perniagaan Malaysia bagi mendapatkan maklumat berkaitan program pembangunan, dana pembiayaan dan peluang perniagaan yang disediakan KUSKOP serta agensi di bawahnya.



