KUALA LUMPUR – Kerusi Parlimen Petaling Jaya kini secara rasmi kosong selepas penyandangnya, Lee Chean Chung, meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Rakyat berkuat kuasa Jumaat lalu.
Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Md Nor berkata, surat peletakan jawatan itu sudah diserahkan Chean Chung kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada 2 Oktober lalu.
Beliau berkata, Johari turut memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan kerusi berkenaan mengikut Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Yang Berhormat Ahli Parlimen Petaling Jaya sudah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Ahli Dewan Rakyat kepada Yang di-Pertua pada Jumaat (2 Oktober).
“Yang di-Pertua Dewan Rakyat juga sudah memaklumkan SPR berhubung kekosongan kerusi Parlimen itu mengikut Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Jumaat lalu, Chean Chung turut mengumumkan keputusannya untuk keluar daripada PKR selepas menerima keputusan penggantungan keahlian selama tiga tahun.
Beliau berkata, keputusan penggantungan itu diterimanya pada 30 September dan berpunca daripada pendiriannya menyuarakan pelbagai isu rakyat, selain mendakwa tindakan berkenaan mengehadkan kebebasannya untuk menyatakan pandangan dalam parti.
Hubungan antara Chean Chung dan PKR mula tegang pada awal Jun lalu selepas beliau mendakwa kehilangan akses kepada peruntukan kawasannya susulan kehadirannya pada satu acara membabitkan pimpinan pembangkang.
Pada 12 Jun lalu, beliau turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.





