
KUALA LUMPUR — Tabung Haji (TH) kekal kukuh dengan jumlah aset RM98.58 bilion berbanding liabiliti RM95.63 bilion, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Beliau berkata, kelestarian TH sentiasa menjadi keutamaan kerajaan bagi memastikan institusi itu mampu melaksanakan mandat membantu umat Islam menunaikan ibadah haji secara teratur, selain menjaga kepentingan pendeposit.
“Alhamdulillah, jumlah pelaburan meningkat kepada RM4.64 bilion, iaitu paras tertinggi yang pernah direkodkan.
“Tabung Haji tetap kekal kukuh dengan aset berjumlah RM98.58 bilion berbanding liabiliti RM95.63 bilion,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh di Dewan Rakyat pada Isnin.
Tambahnya, reformasi yang dilaksanakan turut membolehkan TH meningkatkan kadar agihan kepada pendeposit daripada 1.25 peratus pada 2018 kepada 3.5 peratus pada 2025, sekali gus mencatatkan kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun.
Dalam masa sama, beliau menegaskan segala urusan strategik dilaksanakan dengan mengekalkan tadbir urus yang kukuh dan bebas daripada campur tangan pihak yang tidak berkepentingan.
Menjawab dakwaan Che Mohamad bahawa TH mengalami kerugian kira-kira RM3 bilion akibat pelaburan yang tidak diurus dengan baik, beliau berkata setiap pelaburan baharu tertakluk kepada proses dan prosedur bagi mengurangkan risiko kerugian serta memastikan pengukuhan portfolio.
“Soal pelaburan baharu ini, jawapan bertulis akan diberikan. Namun bagaimana kita memastikan pelaburan tidak rugi, iaitu melalui proses dan prosedur yang banyak untuk menjamin pengukuhan pelaburan,” katanya.

Mengenai persoalan kenaikan kos menunaikan haji dan dakwaan kerajaan mahu menghapuskan subsidi, beliau berkata kerajaan tidak menggunakan istilah subsidi, sebaliknya memperkenalkan HAFIZ (Haji Financial Assistance) sebagai bantuan kewangan haji.
Katanya, mekanisme bantuan itu telah dilaksanakan sejak 2001 dan diberikan secara bersasar berdasarkan keputusan Muzakarah yang membenarkannya.
Beliau berkata kos haji meningkat dengan ketara susulan inflasi yang melebihi 250 peratus, selain dipengaruhi kenaikan harga minyak, caj perkhidmatan di Arab Saudi serta turun naik mata wang asing.
“Alhamdulillah, kita berjaya mengekang kos haji lebih empat tahun berturut-turut dengan menggunakan pendekatan terbaik,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan bantuan secara bersasar itu membolehkan Tabung Haji terus memperkukuh kualiti perkhidmatan haji tanpa menjejaskan kelestarian institusi berkenaan.
Dalam pada itu, beliau turut mengajak Ahli Parlimen menghadiri solat Jumaat di Parlimen sebelum pembentangan Belanjawan 2027 pada petang itu.




