
BALINGIAN – Kerajaan Sarawak kini dalam proses merangka model perumahan mampu milik khusus buat golongan berpendapatan pertengahan (M40), dengan Bintulu dipilih sebagai lokasi projek rintis sebelum dilaksanakan di bandar-bandar utama lain.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kajian terperinci sedang dijalankan merangkumi reka bentuk kediaman dan julat kos bersesuaian supaya golongan berkenaan berpeluang memiliki rumah sendiri.
“Kita sedang mengkaji dan membuat perkiraan jenis rumah serta kos dalam julat harga yang mampu dibeli oleh M40.
“Bintulu dipilih sebagai lokasi projek rintis kerana permintaan kediaman M40 di sana amat ketara, termasuk dalam kalangan eksekutif dan pekerja berpendapatan sederhana tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis simbolik penyerahan kunci Projek Rumah Spektra Permata (RSP) Skim Pembesaran Kampung (SPK) Balingian Fasa 1 di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Abang Jo menjelaskan dua lokasi telah dikenal pasti di Bintulu bagi pelaksanaan projek rintis berkenaan iaitu di kawasan Jepak dan berhampiran Kampung Nyalau, Samalaju.
Tambah beliau, sekiranya formula model perumahan M40 di Bintulu itu berjaya, pendekatan sama akan diperluas ke kawasan bandar utama seperti Kuching, Miri dan Sibu.
“Bagaimanapun, kita juga perlu menangani cabaran utama seperti kos tanah yang tinggi serta keterbatasan kawasan baharu berikutan sesetengah kawasan bandar yang semakin padat,” jelas beliau.
Terdahulu pada majlis tersebut, seramai 22 orang warga Balingian menerima kunci kediaman baharu masing-masing bagi projek RSP SPK Balingian Fasa 1 yang disempurnakan terus oleh Premier Sarawak.




