SHAH ALAM – Masa depan negara bergantung kepada pemimpin yang ikhlas dan amanah untuk membawa negara ke hadapan, kata Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Menteri Komunikasi itu berkata, justeru pentadbiran negara perlu bebas daripada kleptokrasi.
“Kleptokrat, kalau Datuk Seri Anwar sebut sakau.
“Saya tak jadi menteri untuk jadi kaya, tapi untuk bantu Datuk Seri Anwar bersihkan negara, dalam tempoh beberapa tahun ini, ekonomi negara meningkat.
“Setakat ini sebagai menteri saya tiada rumah baru, kereta baru, isteri baru, kasut masih ‘Converse’, jam lama ‘Timex’, baju batik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Madani Kita Bersama-sama Komuniti Kota Anggerik di Dewan Melati, Seksyen 7, di sini, hari ini.
Fahmi turut menarik perhatian dengan ketegasan kerajaan terhadap syarikat telekomunikasi membuatkan rakyat terus menikmati perkhidmatan internet laju.
“Tuan puan mungkin tak sedar, Internet kita makin murah, kalau ikut telco, mereka nak caj ekstra untuk 5G tapi kerajaan kata ‘No’.
“Telco akur, kalau sebelum ini mungkin lambat, tapi kalau ada masalah saya minta mereka selesaikan segera,” katanya.
Fahmi turut menggesa rakyat agar membuat pilihan tepat agar masa depan negara terus dipacu.
“Pemimpin peringkat negeri, parlimen yang ikhlas dan kita pastikan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar akan dapat memimpin untuk penggal kedua,” katanya.






