De Bruyne watak penting Belgium kalahkan Turkiye

KEVIN De Bruyne meledak dua gol ketika Belgium menewaskan Turkiye 3-0, manakala Perancis diikat Itali 1-1 dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA awal pagi tadi.

Pemain tengah Napoli itu, yang membuat penampilan ke-127 bersama Belgium, membuka jaringan menerusi gerakan satu-dua menarik bersama Dodi Lukebakio sebelum menyudahkan peluang dari luar kotak penalti.

Walaupun Belgium kelihatan mengancam tanpa mencipta banyak peluang jelas, Turkiye lebih berbahaya dalam serangan selepas jaringan pembukaan De Bruyne.

Namun, segala usaha mereka di Liege, Belgium, tidak membuahkan hasil.

Sebaliknya, De Bruyne meledak gol kedua menerusi rembatan lencong dari luar kotak penalti yang menerjah penjuru atas gawang Turkiye yang dikawal Ugurcan Cakir.

“Saya cuba menjadi contoh kepada pemain muda dan mereka mudah mengikutinya. Saya rasa masih mampu menyumbang. Saya menikmatinya dan itu perkara paling penting,” kata De Bruyne.

Belgium kemudian menambah gol ketiga menerusi Romelu Lukaku, penjaring terbanyak sepanjang zaman pasukan itu, yang menggantikan Lukebakio.

Hantaran lintang rendah Charles De Ketelaere menemui Lukaku, yang berjaya menampan bola melepasi Cakir dari jarak dekat.

“De Bruyne sentiasa mahu bermain. Itali, Perancis dan hari ini. Dia berada dalam rentak yang sangat baik. Dia memancarkan kegembiraan dan anda boleh melihatnya menerusi gol yang dijaringkannya.

“Saya sangat berpuas hati dengan kemenangan 3-0. Ada ketika kami cuai ketika menguasai bola dan memberi lawan keyakinan untuk mencipta peluang.

“Permainan berlangsung sengit dan kami tidak cukup mengawal keadaan dalam fasa berkenaan. Namun, kami mengekalkan mereka dalam permainan untuk tempoh yang lama, walaupun saya tidak pernah merasakan kami berada dalam bahaya untuk tewas,” kata pengendali Belgium, Mark van Bommel.

Kekalahan itu adalah yang ketiga berturut-turut buat Turkiye, manakala keputusan berkenaan menyaksikan Belgium ketinggalan satu mata di belakang pendahulu Kumpulan A1, Perancis.

Penyerang veteran Robert Lewandowski meledak hatrik ketika Poland membelasah Romania 6-0 dalam Kumpulan 4 Liga B, manakala Bosnia-Herzegovina dan Sweden terikat 1-1 dalam perlawanan yang menyaksikan Edin Dzeko membuat penampilan ke-152 dan terakhir bersama negaranya.

Ciaron Brown meledak dua gol ketika Ireland Utara menewaskan Ukraine 3-0 di gelanggang berkecuali di Trnava, Slovakia, manakala Hungary menewaskan Georgia 1-0 dalam satu lagi aksi Kumpulan 2.

Dalam saingan Liga C sebelum itu, Cyprus menewaskan Armenia 2-0 di laman sendiri dalam Kumpulan 2, manakala Montenegro mencatat kemenangan 2-1 ke atas Latvia di Riga.

Dalam aksi Kumpulan 3, Moldova menewaskan Kazakhstan 2-1 di Astana, manakala Kepulauan Faroe seri 1-1 dengan Slovakia di laman sendiri.

Related Posts

Sembilan emas Aichi-Nagoya bukti kesungguhan atlet Malaysia – PM

KUALA LUMPUR – Kejayaan kontinjen Malaysia mengumpul sembilan pingat emas di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 membuktikan kesungguhan dan kehebatan atlet negara dalam mengharumkan nama Jalur Gemilang di pentas Asia. Perdana…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Azizulhasni raih pingat emas keirin, tepati ramalan

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menepati ramalan apabila meraih pingat emas acara keirin pada Sukan Asia Aichi-Nagoya, hari ini, 16 tahun selepas memenangi emas pertamanya di pentas temasya…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kemudahan mesin ATM Affin Bank, Agropark, naik taraf sekolah diperlukan di Mukah

Kemudahan mesin ATM Affin Bank, Agropark, naik taraf sekolah diperlukan di Mukah

22 saman dikeluarkan, OPS bersepadu tumpu kes curi kenderaan, jenayah narkotik

22 saman dikeluarkan, OPS bersepadu tumpu kes curi kenderaan, jenayah narkotik

UMNO ulangi kesilapan lalu, Zahid mungkin tanggung padah

UMNO ulangi kesilapan lalu, Zahid mungkin tanggung padah

De Bruyne watak penting Belgium kalahkan Turkiye

De Bruyne watak penting Belgium kalahkan Turkiye

Sarawak guna dana sendiri bina loji air RM240 juta, beri subsidi solar – Abang Jo

Sarawak guna dana sendiri bina loji air RM240 juta, beri subsidi solar – Abang Jo

Sarawak perlu terajui pelbagai cabang ekonomi baharu – Abang Jo

Sarawak perlu terajui pelbagai cabang ekonomi baharu – Abang Jo