
PENAMPANG – Kontraktor tempatan di Sabah perlu meningkatkan keupayaan dan memastikan setiap projek yang dilaksanakan disiapkan mengikut jadual, spesifikasi serta standard kualiti ditetapkan bagi membina keyakinan terhadap industri pembinaan negeri.
Timbalan Ketua Menteri II Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, keupayaan melaksanakan dan menyiapkan projek dengan baik merupakan asas penting dalam membina reputasi serta keyakinan terhadap syarikat kontraktor tempatan.
Katanya, Sabah memerlukan kontraktor tempatan yang mampu melaksanakan projek dengan baik, menyiapkannya mengikut jadual dan menjaga mutu kerja. Inilah asas untuk membina keyakinan terhadap syarikat kita.
“Industri pembinaan memainkan peranan penting dalam pembangunan Sabah kerana setiap projek bukan sahaja menyediakan kemudahan kepada rakyat, malah membuka peluang pekerjaan kepada pekerja, pembekal dan perniagaan tempatan.
“Keperluan pembangunan negeri masih besar khususnya dalam bidang infrastruktur, perumahan, utiliti dan sektor ekonomi lain yang menyediakan ruang kepada kontraktor tempatan untuk berkembang.
“Bagi rakyat, yang paling penting ialah hasilnya; jalan yang boleh digunakan, bekalan air yang sampai ke rumah dan kemudahan awam yang berfungsi,” ujarnya dalam Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Sabah Kali Ke-27, di sini pada Selasa.
Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan negeri mahu memastikan setiap ringgit wang rakyat memberikan nilai sewajarnya melalui pelaksanaan projek yang berkesan dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Setiap ringgit wang rakyat mesti memberikan nilai yang sepatutnya atau stretch the value of the ringgit. Kejayaan pembangunan mesti diukur melalui manfaat yang diterima rakyat, bukan semata-mata jumlah peruntukan yang dibelanjakan.
“Kontraktor perlu ingat supaya menilai kemampuan sebenar sebelum menerima sesuatu projek, termasuk memastikan aliran tunai mencukupi, tenaga kerja tersedia dan pengurusan projek dilaksanakan secara teratur,” tegasnya.

Tambahnya, sebarang masalah yang berpotensi menjejaskan kemajuan projek juga perlu dimaklumkan lebih awal supaya penyelesaian dapat dicari sebelum kerja tergendala.
“Dalam usaha meningkatkan daya saing, saya menggalakkan kontraktor Sabah memperkukuh kemahiran teknikal, pengurusan kewangan dan rekod prestasi bagi membolehkan lebih banyak syarikat tempatan berkembang sebagai kontraktor utama yang berwibawa.
“Reputasi sesebuah syarikat dibina melalui kualiti kerja serta keupayaan menyiapkan projek yang diamanahkan dengan baik.
“Saya turut menggesa kontraktor memanfaatkan teknologi yang bersesuaian bagi memantau kemajuan projek, mengawal kos dan mengurangkan pembaziran, selain memberi perhatian kepada aspek keselamatan pekerja serta penjagaan alam sekitar.
“Pada masa sama, saya mahu kontraktor Sabah mengurangkan kebergantungan kepada projek kerajaan dengan meneroka peluang dalam sektor swasta termasuk tenaga, minyak dan gas, pelancongan serta logistik.
“Selain itu, kerjasama strategik antara syarikat juga perlu diperkukuh bagi meningkatkan kepakaran dan membuka peluang pasaran baharu kepada kontraktor tempatan,” tegasnya lagi.
Masidi turut menyarankan PKMM Sabah memainkan peranan lebih besar dalam membantu ahlinya mendapatkan latihan, memahami keperluan pembiayaan serta meningkatkan kapasiti dan daya saing syarikat.
“Berikan juga ruang kepada kontraktor muda untuk belajar dan memimpin. Pengalaman kontraktor senior, digabungkan dengan pengetahuan serta kemahiran generasi muda, boleh mengukuhkan syarikat tempatan untuk jangka panjang.
“Kontraktor perlu menjaga amanah dalam setiap projek dengan memastikan kerja disiapkan mengikut jadual, mematuhi spesifikasi dan memberikan manfaat kepada rakyat.
“Itulah sumbangan paling bermakna yang boleh kita berikan kepada pembangunan Sabah.
“Kerajaan negeri dan PKMM Sabah perlu terus bekerjasama bagi membangunkan industri pembinaan yang lebih profesional, berdaya saing dan mampu menyumbang secara berterusan kepada pembangunan Sabah,” katanya.



