KUALA LUMPUR – Tribunal Antibuli (TAB) menerima 55 aduan dengan lima kes diputuskan melalui award setakat semalam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata, antara award diberikan termasuk permohonan maaf kepada mangsa, penyertaan dalam program kaunseling serta pembayaran ganti rugi sebanyak RM2,000 dalam satu kes.
“Ini mencerminkan pendekatan TAB yang bukan semata-mata berorientasikan hukuman, tetapi turut menekankan pemulihan mangsa dan pembetulan tingkah laku pelaku,” katanya, seperti dilapor Bernama.
Azalina berkata, selain kerangka perundangan, keberkesanan isu buli turut bergantung kepada keberanian masyarakat bersuara dan bertindak.
Katanya, mangsa perlu tampil mendapatkan bantuan, manakala mereka yang menyaksikan kejadian buli harus berani bersuara kerana buli bukanlah gurauan dan tidak boleh dinormalisasikan dalam apa jua keadaan.
Dalam pada itu, Azalina berkata, selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI menangani gejala buli secara serius dan menyeluruh, beliau telah melancarkan Program Literasi Akta Antibuli 2026 (Akta 876) dan Peranan TAB di Maktab Tentera Diraja Sungai Besi, semalam.
Program itu adalah sebahagian usaha kerajaan meningkatkan kefahaman masyarakat khususnya generasi muda mengenai perlindungan yang tersedia di bawah Akta 876 serta fungsi dan peranan TAB, termasuk tatacara membuat aduan, proses pendengaran dan bentuk remedi kepada mangsa.






