Gobind Singh Deo
PUTRAJAYA – Malaysia melonjak tujuh anak tangga ke kedudukan ke-27 dalam Kedudukan Digital dan Kecerdasan Buatan (AI) Dunia IMD 2026, berbanding tempat ke-34 sebelum ini.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pencapaian itu mengiktiraf kemajuan negara dalam transformasi digital dan pembangunan teknologi AI, selain membuktikan kesediaan Malaysia bersaing dalam ekonomi digital dan AI global.
“Ia mencerminkan usaha kolektif kerajaan, industri, ahli akademik dan rakyat Malaysia dalam membudayakan teknologi digital serta memperkukuh keupayaan negara,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, penarafan itu turut memperkukuh keyakinan terhadap hala tuju strategik di bawah Pelan Tindakan Digital Malaysia 2030 dan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030, selaras aspirasi menjadi negara AI yang inklusif dan mampan menjelang 2030.
Bagi mengekalkan momentum itu, Gobind berkata, kerajaan akan memberi tumpuan kepada empat keutamaan iaitu memaksimumkan nilai ekonomi daripada pelaburan infrastruktur digital dan AI melalui pembangunan industri, teknologi dan perniagaan berasaskan pelaburan berkenaan.
Selain itu, mempercepat penerimagunaan digital dan AI merentasi semua sektor, khususnya membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos dan meneroka pertumbuhan baharu.
Turut diberi tumpuan adalah memperkukuh bakat dan inovasi melalui peningkatan kemahiran dan latihan semula tenaga kerja agar rakyat dilengkapi keupayaan digital dan AI.
“Selain itu, kita juga akan memperkukuh kepercayaan digital, tadbir urus dan penyelarasan kawal selia bagi mewujudkan persekitaran ekonomi digital yang dipercayai dan mesra inovasi,” jelasnya.
Sehubungan itu, Kementerian Digital sedang memajukan penggubalan Rang Undang-Undang Tadbir Urus AI bagi memberikan kejelasan dan akauntabiliti lebih tinggi dalam pembangunan serta pelaksanaan AI.
“Penarafan terbaharu IMD ini merupakan pencapaian penting. Namun usaha dan kerjasama berterusan amat penting bagi mengekalkan momentum sedia ada,” katanya.

