
MANILA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiba di sini malam ini bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung esok hingga 17 November.
Pesawat khas membawa Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mendarat di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, sekitar jam 8 malam.
Menurut laporan Bernama, ketibaan beliau disambut Setiausaha Dalam Negeri dan Kerajaan Tempatan Filipina, Juanito Victor Jonvic C. Remulla Jr.
Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Amran Mohamed Zin; Duta Besar Malaysia ke Filipina, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony; serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Esok, Perdana Menteri dijadual menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 yang merangkumi Sesi Pleno dan Sesi Pemukiman, selain tiga sesi libat urus bersama Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN, Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN dan Belia ASEAN.
Beliau kemudian dijadual menyertai empat sidang kemuncak bersama rakan dialog, iaitu ASEAN-China Ke-29, ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ke-16, ASEAN-Australia Ke-6 dan ASEAN-Republik Korea Ke-27.
Selain pertemuan dua hala dengan beberapa rakan sejawat negara anggota ASEAN, tumpuan turut terarah kepada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat Ke-12.
Penyertaan Malaysia pada sidang kemuncak kali ini penting bagi memelihara kepentingan negara, memperkukuh peranan aktif Malaysia dalam menentukan hala tuju masa depan ASEAN serta menyumbang kepada pembentukan dasar serantau merangkumi aspek politik dan keselamatan, ekonomi serta sosiobudaya.
Dalam hantaran di Facebook, Anwar berkata Malaysia akan terus memainkan peranan aktif memperkukuh hubungan serantau, merapatkan persefahaman dan memperluas kerjasama demi keamanan, kestabilan serta kemakmuran bersama.
“Mohon doa semua agar perjalanan dan segala urusan dipermudah serta misi ini membuahkan hasil yang bermakna buat Malaysia dan seluruh rantau ASEAN,” katanya.


