
KUALA KANGSAR – Seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) ditemukan maut dengan kesan kecederaan di bahagian betis dipercayai akibat ditikam di kediamannya di Kampung Cheh Hilir, Kati, di sini, pada Rabu.
Mangsa, Nor Ainon Omar, 49, yang juga ibu kepada tiga anak dan kesemuanya berstatus OKU, ditemukan terbaring di rumah kampung berdinding papan yang didiaminya bersama suami dan anak-anak.
Difahamkan, ketika penduduk tiba di lokasi, mangsa sudah tidak sedarkan diri dan tidak bergerak, selain terdapat kesan kecederaan serta pendarahan pada bahagian betis.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Cheh Hilir, Nur Halim Abdul Hamid berkata, beliau menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 2 petang.
“Saya dimaklumkan suami mangsa meminta pertolongan penduduk berhampiran sebelum saya dihubungi.
“Suaminya memberitahu isterinya sempat mengatakan kakinya dicucuk dengan benda tajam dari bahagian bawah rumah melalui celahan papan.
“Sewaktu kejadian, suami mangsa mendakwa sedang memasak sebelum terdengar isterinya meminta pertolongan,” katanya kepada media pada Rabu.
Tambah Nur Halim, seorang daripada tiga anak mangsa tiada di rumah ketika kejadian, sebelum penduduk kampung berjaya menemui remaja berusia 15 tahun itu di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran sekolah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 2.38 petang.
“Susulan itu, polis menahan dua lelaki yang mempunyai pertalian keluarga dengan mangsa bagi membantu siasatan.
“Polis turut menemukan sebilah pisau yang disyaki digunakan dalam kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek.
“Siasatan polis mendapati ahli keluarga menyedari mangsa berada dalam keadaan tertiarap, tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di ruang tamu rumah.
“Polis menahan dua lelaki yang juga ahli keluarga mangsa kerana dipercayai terbabit dalam kes ini,” katanya.
Heisham berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Taiping untuk bedah siasat, manakala kedua-dua lelaki berkenaan akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Mohamad Fadhil Ab Wahab di talian 019-7272033 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar di talian 05-7762222 bagi membantu siasatan.
Foto: Bernama





