
KUALA TERENGGANU — Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu (DPPNT) mengumumkan penyusunan semula tiga jawatan tertingginya selepas menerima peletakan jawatan Muhamad Hamdi Harun sebagai ketua sayap berkenaan.
Keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Khas Ahli Jawatankuasa Kerja DPPNT yang diadakan pada Rabu, 23 September.
Menurut kenyataan media organisasi tersebut, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli dilantik memangku jawatan Ketua Pemuda PAS Terengganu bagi sesi 2026–2027.
Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin pula dilantik sebagai Pemangku Timbalan Ketua, manakala Abdul Manaff Ghani mengambil alih tanggungjawab sebagai Pemangku Naib Ketua.
Pelantikan itu menyaksikan tiga jawatan utama DPPNT disusun semula secara serentak bagi memastikan kesinambungan pentadbiran dan perjalanan organisasi selepas pengunduran Muhamad Hamdi.
Bagaimanapun, kenyataan yang ditandatangani Setiausaha DPPNT, Mohd Riduan Abu Bakar, tidak menjelaskan sebab peletakan jawatan tersebut.
Kenyataan berkenaan juga tidak menyatakan tarikh kuat kuasa, tempoh pemangkuan atau proses seterusnya bagi menentukan barisan kepimpinan tetap DPPNT.
Mohd Fadhli Rahmi sebelum ini menjalankan peranan sebagai Timbalan Ketua DPPNT sebelum dinaikkan untuk memangku jawatan ketua.
Setakat ini, belum terdapat kenyataan terbuka daripada Muhamad Hamdi berhubung keputusan pengundurannya.
Perubahan kepimpinan berkenaan dijangka mendapat perhatian kerana melibatkan keseluruhan rantaian tiga jawatan tertinggi Pemuda Pas di Terengganu, sebuah negeri yang menjadi antara kubu utama parti itu.
DPPNT dalam kenyataannya berharap organisasi tersebut terus maju dan memperoleh pertolongan Allah SWT, namun tidak memberikan penjelasan lanjut mengenai latar belakang pertukaran berkenaan.
Untuk rekod Muhamad Hamdi adalah anak kepada Allahyarham Datuk Harun Taib, mantan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat dan juga adik kepada ADUN Manir, Hilmi Harun.






