default
BANDA HILIR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari mengakui tidak terkejut dengan kekalahannya dalam mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Beliau berkata, keputusan itu sudah dijangka mengambil kira kedudukan PH yang ketinggalan kira-kira 5,000 hingga 6,000 undi berdasarkan perkiraan awal sebelum kempen berlangsung.
Menurut beliau, keadaan itu akhirnya diterjemahkan menerusi undi kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang memberi kesan kepada persaingan di kawasan berkenaan.
“Memanglah kita tahu seperti yang saya sebut dari awal, di Bukit Katil, Perikatan Nasional (PN) di atas kertas kita ketinggalan sekitar 5,000 hingga 6,000 undi.
“Jadi, ia diterjemahkan dalam bentuk undi kerjasama BN dan PN. Bagaimanapun, kita menghormati keputusan masyarakat di Bukit Katil dan juga rakyat di Melaka.
“Saya tidak terkejut kerana saya tahu dari awal kedudukan saya jauh ketinggalan. Jadi, saya cubalah mengejar dalam tempoh 14 hari, tetapi tidak sempat,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PH di sini hari ini.
Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah tewas dalam usaha mempertahankan kerusi DUN Bukit Katil kepada calon PN, Muhammad Ridzuan Mohd. Sarif berdasarkan keputusan tidak rasmi PRN Melaka malam ini.
Adly berkata, pihaknya akan melakukan penambahbaikan bagi memastikan prestasi parti itu lebih baik pada pilihan raya akan datang, termasuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang dijangka berlangsung dalam tempoh setahun.
“Ah, itu sudah pastilah. Bukan saja di Melaka, kita akan menghadapi PRU akan datang dalam tempoh setahun. Jadi, kita akan berusaha memastikan ada usaha-usaha untuk menambah baik prestasi kita,” katanya.
“Saya menghormati keputusan rakyat kerana mereka ada keputusan mereka sendiri untuk membuat pilihan pada PRN Melaka,” katanya.


