
KOTA KINABALU – Ekonomi Jingga berpotensi menjadi sumber pendapatan baharu kepada golongan belia di Sabah menerusi penguasaan teknologi kecerdasan buatan (AI), pemasaran digital dan penciptaan kandungan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ir. Ts. Mustapha Sakmud berkata, perkembangan teknologi baharu membuka peluang kepada anak muda untuk menghasilkan idea kreatif serta kandungan digital yang boleh dipasarkan sekali gus menjana pendapatan.
“Untuk jangka masa pendek, kita menggalakkan anak-anak muda menceburkan diri dalam industri kreatif atau ekonomi jingga kerana bidang ini banyak melibatkan teknologi baharu termasuk AI.
“Kalau kita boleh menguasai teknologi AI, kita mampu melahirkan idea-idea baharu dan menghasilkan kandungan untuk dipasarkan, bukan sahaja di Sabah tetapi juga di negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri program Hi-Tea Anak Muda Bersama Menteri di The Annedible Cakery, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi kejayaan ‘Content Creator Of The Year’, Adam Shamil selain seorang graduan perakaunan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang memanfaatkan kemahiran teknologi bagi membantu peniaga mempromosikan produk melalui pemasaran media sosial.
“Kadang-kadang peniaga tidak tahu bagaimana hendak memasarkan produk mereka. Jadi, anak-anak muda boleh menggunakan kemahiran teknologi dan media sosial untuk membantu mempromosikan produk usahawan berkenaan.
“Pada masa sama, mereka juga boleh mengenakan caj perkhidmatan dan menjadikan bidang ini sebagai sumber pendapatan,” ujarnya.
Mustapha turut menggalakkan belia meneroka bidang perniagaan baharu termasuk perkhidmatan barista yang mempunyai potensi untuk dikembangkan sebagai perniagaan kecil-kecilan.
“Dari segi barista ini kita ajar mereka bagaimana menggunakan peralatan-peralatan untuk buat kerana sekarang anak-anak muda suka ‘cafe latte’ dan ‘cappuccino’.
“Ini semua bidang-bidang baru. Jadi mereka boleh berjinak-jinak dengan perniagaan-perniagaan ini dan akhirnya mereka boleh menjana pendapatan,” jelasnya.



