KUALA LUMPUR – Malaysia berhadapan ribuan cubaan serangan siber setiap bulan, sekali gus menuntut tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan yang lebih pantas dan ampuh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, landskap keselamatan negara kini tidak lagi tertumpu kepada ancaman ketenteraan konvensional semata-mata.
Sebaliknya, katanya, serangan siber, pencerobohan sistem dan pergerakan sel pengganas menjadi cabaran paling kritikal.
“Kita dalam satu bulan (berhadapan) ribuan percubaan serangan. Jadi kita kena perkukuh (pertahanan) dan minggu lepas saya berjumpa dengan pucuk pimpinan Angkatan Tentera Malaysia, berbincang untuk memperkukuh unit keselamatan siber di Angkatan Tentera,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peserta pada Sesi Temu Anwar Bersama Wira Muda Negara Program Latihan Khidmat Negara 3.0 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, di sini, hari ini.
Bagi menggambarkan keseriusan ancaman itu, Anwar merujuk insiden gangguan operasi lapangan terbang di Amerika Syarikat baru-baru ini yang berpunca daripada masalah sistem telekomunikasi negara itu.
“Fikirkan Amerika Syarikat dengan segala kecanggihannya tidak dapat kenal pasti apa (punca), tetapi ada serangan kepada sistem telekomunikasi yang menyebabkan ia crashed. Kita masih menunggu laporan akhir,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan corak pertahanan dan perolehan aset negara perlu pantas beradaptasi dengan kecanggihan teknologi moden seperti pengoperasian dron, tanpa mengabaikan pertahanan konvensional.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan telah melonjakkan peruntukan Kementerian Pertahanan ke tahap tertinggi dalam sejarah, menjadikannya antara kementerian penerima terbesar selain Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.
Beliau berkata, dana itu penting bagi menggantikan pelbagai aset konvensional pasukan keselamatan yang sudah terlalu usang, termasuk kapal tentera laut, pesawat udara dan kereta perisai.
“Kerana pesawat usang, kereta kebal rosak, jadi itu semua kita belanjakan. Tetapi dalam soal pembelian ini, kerajaan juga mahu memastikan tiada lagi masalah masa lalu, seperti penggunaan ejen dan komisen tinggi yang menyebabkan ada projek kapal (bernilai) berjuta-juta ringgit terbengkalai,” katanya.



