KUALA LUMPUR – UMNO sedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terdapat bukti kukuh untuk pendakwaan susulan dakwaan seorang lagi pemimpin kanan UMNO bakal dipanggil agensi itu minggu depan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya terdapat pemimpin kanannya didakwa atas kesalahan yang mempunyai bukti kukuh, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Bagaimanapun, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan, beliau belum menerima maklumat rasmi berhubung dakwaan berkenaan.
“Saya tidak dapat maklumat rasmi lagi mengenai perkara itu (dakwaan pemimpin kanan UMNO akan ditahan) tetapi pendirian kami ialah bahawa jika ada bukti-bukti yang kukuh untuk pendakwaan dilakukan, kita tidak ada sebarang halangan untuk memberikan kerjasama kepada SPRM untuk melakukan pendakwaan.
Ahmad Zahid berkata demikian dalam sidang media selepas membuat lawatan di Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2026) yang berlangsung sejak semalam di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, pada Khamis.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid menegaskan, sebarang pendakwaan sepatutnya didahului proses siasatan yang dilakukan secara adil dan telus.
“Tetapi lazimnya sebelum pendakwaan itu dilakukan, sepatutnya ia dimulakan dengan siasatan dan siasatan itu hendaklah dibuat secara adil dan telus,” katanya.
Kenyataan itu dibuat selepas media melaporkan laporan bahawa seorang pemimpin kanan UMNO mungkin dipanggil, ditahan atau dikenakan tindakan selepas PAU 2026.






