
KUCHING – Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempertaruhkan seramai lima calon wanita termasuk dua muka baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, meningkat seorang berbanding empat wakil pada pilihan raya negeri yang lalu.
Dua calon muka baharu yang diberi kepercayaan menggalas cabaran gabungan itu ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.16 Muara Tuang serta bekas jurutera di Sarawak Energy, Nurfatin Syafawani Tahamat di N.71 Bekenu.
Pencalonan Dr Dayang Nurfizawati dan Nurfatin masing-masing menggantikan penyandang terdahulu, Datuk Idris Buang di Muara Tuang serta Datuk Rosey Yunus yang tidak mempertahankan kerusi Bekenu selepas empat penggal berkhidmat.
Mereka bakal bergandingan dengan tiga penyandang wanita berpengalaman yang dikekalkan untuk mempertahankan kerusi masing-masing iaitu Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali di N.07 Samariang, Dayang Noorazah Awang Sohor di N.28 Lingga dan Datuk Seri Fatimah Abdullah di N.56 Dalat.
Barisan lima calon wanita daripada keseluruhan 82 calon GPS itu diumumkan oleh Pengerusi GPS merangkap Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Rabu.
Menurut Abang Johari, penambahan bilangan wakil wanita serta penampilan calon muda merupakan sebahagian daripada proses meremajakan parti sambil meneruskan komitmen mengekalkan kestabilan pentadbiran di Sarawak.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Sarawak ke-13 pada 28 November ini, diikuti pengundian awal pada 8 Disember dan hari pengundian pada 12 Disember 2026.



