
ARAU – Pengalaman kerja melebihi 15 tahun membuka laluan baharu dalam pembangunan kerjaya 27 kakitangan sokongan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selepas berjaya memperoleh pensijilan profesional daripada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Kesemua mereka berjaya menamatkan Program Pensijilan Profesional dalam Teknologi Industri dan Pengurusan hasil kerjasama strategik antara universiti itu dengan SKMM pada Istiadat Konvokesyen Ke-21 UniMAP baru-baru ini.
Naib Canselor UniMAP, Profesor Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, program selama 12 bulan itu dilaksanakan secara fizikal dengan pendekatan pembelajaran berterusan merangkumi kuiz, tugasan dan pelbagai bentuk penilaian tanpa peperiksaan akhir.
“Pendekatan tersebut membolehkan pelajar mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari secara berperingkat, di samping menghubungkan pengalaman sebenar di tempat kerja dengan kemahiran dalam bidang teknologi, pengurusan, komunikasi dan penyelesaian masalah.
“Menariknya, mereka ini terdiri daripada kakitangan sokongan yang menjalankan pelbagai fungsi dalam organisasi, sekali gus memperlihatkan bahawa peluang meningkatkan kelayakan profesional perlu terbuka kepada semua lapisan tenaga kerja,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, pengalaman di tempat kerja merupakan aset penting yang boleh dimanfaatkan sebagai asas pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan kompetensi profesional.
“Peluang untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran tidak seharusnya terhad kepada individu yang baharu memulakan kerjaya, sebaliknya perlu terus diberikan kepada mereka yang telah lama berkhidmat.
“Pengalaman kerja yang dikumpulkan selama bertahun-tahun mempunyai nilai yang besar. Oleh itu, dengan peluang pembelajaran dan pengiktirafan yang bersesuaian, pengalaman tersebut boleh menjadi pemangkin kepada peningkatan kompetensi dan perkembangan kerjaya seseorang,” katanya.
Zaliman berkata, kerjasama strategik itu turut mencerminkan peranan universiti sebagai rakan pembangunan industri dalam menyediakan peluang peningkatan kemahiran dan kelayakan profesional berdasarkan keperluan sebenar organisasi.
Sementara itu, jurucakap SKMM berkata, inisiatif yang dicetuskan berdasarkan keperluan majikan itu memperlihatkan komitmen suruhanjaya berkenaan dalam menyediakan laluan pembangunan profesional dan peluang perkembangan kerjaya kepada kakitangan sokongan.
Katanya, kejayaan 27 peserta berkenaan membuktikan pembelajaran tidak terbatas kepada usia atau tempoh perkhidmatan, sebaliknya pengalaman dan kemahiran sedia ada boleh terus diperkasakan menerusi pendidikan.


