
BAU – Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol memutuskan untuk tidak bertanding di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 bagi membuka peluang kepada lebih ramai pemimpin Dayak dalam Parti Tindakan Demokratik (DAP) untuk diketengahkan.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat atas pertimbangan sendiri sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh barisan kepimpinan parti serta memberikan ruang kepada generasi pemimpin baharu untuk memainkan peranan lebih besar.
Menurutnya, pembangunan kepimpinan yang berterusan penting bagi memastikan sesebuah parti mempunyai barisan pemimpin yang berpengalaman dan berkeupayaan untuk meneruskan tanggungjawab kepada masyarakat.
“Saya percaya kekuatan sesebuah parti tidak seharusnya bergantung kepada beberapa individu sahaja. Sebaliknya, kita perlu membina barisan kepimpinan yang lebih luas, kukuh dan berkeupayaan untuk menggerakkan perjuangan secara bersama,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mordi mengakui keputusan berkenaan mungkin mengecewakan sebahagian pihak yang sebelum ini berharap beliau bertanding di kerusi DUN Tasik Biru.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa langkah tersebut bukan bermaksud dirinya mengundurkan diri daripada tanggungjawab politik, sebaliknya mahu memberi peluang kepada pemimpin lain untuk mengembangkan pengalaman serta potensi kepimpinan masing-masing.
Dalam perkembangan sama, beliau mengucapkan tahniah kepada calon DAP bagi DUN Opar, Lim Nee Kon atau lebih dikenali sebagai Neekon, yang dinamakan untuk mewakili parti pada pilihan raya berkenaan.
Beliau turut menyatakan kesediaan membantu gerak kerja kempen calon tersebut sebagai sebahagian daripada komitmennya terhadap parti.
Sementara itu, Mordi menegaskan bahawa tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen Mas Gading akan terus menjadi keutamaan walaupun tidak bertanding di peringkat DUN.
Menurutnya, pembangunan kawasan, kebajikan penduduk serta penyelesaian isu setempat perlu terus diberikan perhatian melalui kerjasama yang baik antara semua pihak.
Beliau turut berharap wakil rakyat yang bakal dipilih di DUN Tasik Biru dapat menjalinkan kerjasama dengannya bagi memastikan keperluan masyarakat di kawasan berkenaan sentiasa diberi perhatian.
Mordi berkata, hubungan kerja yang baik antara wakil rakyat di peringkat Parlimen dan DUN penting bagi menyelaraskan usaha pembangunan serta meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada penduduk.
Beliau turut menekankan bahawa kepentingan masyarakat perlu sentiasa menjadi keutamaan dalam melaksanakan amanah sebagai wakil rakyat.
“Khidmat kepada rakyat bukan bermusim dan tanggungjawab kepada masyarakat tidak berakhir dengan sesuatu pilihan raya,” katanya.
Mordi menegaskan bahawa keputusannya tidak bertanding pada PRN Sarawak ke-13 tidak akan menjejaskan komitmennya untuk terus berkhidmat kepada masyarakat di kawasan Parlimen Mas Gading.
Foto: Facebook Mordi Bimol



