KENYATAAN Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Muktamar Pas baru-baru ini bahawa menyokong atau menyertai Pas boleh membawa seseorang ke syurga sememangnya mengundang perhatian.
Bagi penulis, kenyataan sebegini bukanlah sesuatu yang baharu. Ia seolah-olah mengulangi modal lama politik Pas dengan menjadikan agama sebagai daya tarikan politik, khususnya kepada pengundi Melayu dan golongan muda yang sedang mencari arah menjelang pilihan raya akan datang.
Namun persoalannya mudah iaitu adakah benar sesebuah parti politik boleh menjamin jalan seseorang ke syurga hanya kerana sokongan politiknya?
Bukankah syurga itu hak mutlak Allah SWT?
Parti politik boleh menawarkan dasar. Pemimpin boleh membawa perjuangan. Ulama boleh memberikan nasihat.
Tetapi menentukan siapa yang layak mendapat syurga bukan kuasa mana-mana parti politik.
Sebab itu umat Islam perlu berani bertanya: apakah ciri-ciri yang sepatutnya ada pada sebuah parti yang mendakwa memperjuangkan Islam?
Pas memang tidak boleh dinafikan mempunyai sumbangan dan pembaharuan tertentu dalam pentadbiran negeri, kehidupan masyarakat, pembangunan dan ekonomi.
Tetapi segala yang baik itu tidak bermakna rakyat perlu menutup mata terhadap kelemahan, percanggahan dan persoalan yang timbul daripada perjuangan politiknya.
Antara persoalan terbesar yang masih menghantui sejarah politik Pas ialah Amanat Hadi.
Amanat tersebut bukan sekadar sejarah politik yang sudah berlalu. Ia meninggalkan kesan mendalam terhadap masyarakat Melayu Islam, khususnya dari segi hubungan sesama keluarga, jiran dan masyarakat.
Apabila politik dibawa sehingga ke tahap melabel pihak yang berbeza pendirian sebagai tidak berada di landasan Islam yang sama, bukankah itu membuka ruang kepada perpecahan yang jauh lebih besar?
Kita tidak boleh menganggap luka masyarakat akibat politik agama sebagai perkara kecil.
Tragedi Memali juga terus menjadi sebahagian daripada sejarah pahit yang perlu dilihat dengan jujur.
Nyawa telah terkorban, masyarakat berpecah dan kesannya masih menjadi perdebatan sehingga hari ini.
Jika sebuah parti benar-benar mahu membawa umat ke arah Islam yang rahmatan lil alamin, mengapa sejarah hitam sebegini tidak dijadikan iktibar yang serius?
Setiap kali pilihan raya, isu hukum hudud sering kembali menjadi antara senjata politik yang paling ampuh.
Mesejnya mudah iaitu kalau mahu Islam, sokong Pas.
Tetapi selepas mendapat kuasa, rakyat pula disajikan dengan pelbagai penjelasan tentang bidang kuasa, undang-undang Persekutuan, kekangan politik dan sebagainya.
Begitu juga dengan kempen Rang Undang-Undang 355 yang pernah menggerakkan ribuan penyokong.
Persoalannya selepas memperoleh kemenangan politik, di manakah kesungguhan yang pernah dilaungkan kepada rakyat?
Adakah isu agama hanya cukup digunakan untuk mengumpulkan penyokong ketika pilihan raya?
Jika tidak, jelaskan kepada rakyat.
Jika ya, tunaikan.
Jangan jadikan agama sebagai poster pilihan raya yang hanya ditampal ketika diperlukan.
Lebih mengecewakan apabila tokoh yang membawa imej agama sendiri pernah mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan kontroversi berkaitan tokoh-tokoh besar Islam.
Kenyataan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, yang merupakan bekas Ketua Dewan Ulama Pas dan Ahli Parlimen Pasir Puteh, mengenai Saidina Abu Bakar as-Siddiq dan Saidina Umar al-Khattab turut mencetuskan kritikan dan keresahan.
Penulis ingin bertanya inikah yang dikatakan Pas parti syurga?
Persoalannya bukan semata-mata siapa yang berkata.
Persoalannya ialah bagaimana sebuah gerakan yang begitu kuat menggunakan imej ulama, agama, serban dan kopiah boleh memastikan setiap kenyataan berkaitan sejarah Islam dibuat dengan penuh ilmu, disiplin dan tanggungjawab?
Kalau perkara asas berkaitan tokoh besar Islam pun boleh menimbulkan kontroversi, rakyat berhak bertanya:
Inikah model kepimpinan agama yang mahu kita jadikan kompas politik?
Begitu juga dengan kepimpinan Pas hari ini yang mendahului jaguh fitnah dari ahli parti lain.
Ini sungguh memalukan dan langsung tidak menunjuk keperibadian sebagai pemimpin Islam.
Kini penulis paling bimbang pula terhadap golongan muda.
Ramai anak muda hari ini melihat politik secara mudah.
Pernah penulis turun ke padang bertemu dengan beberapa anak muda.
Bila ditanya pada mereka, “Parti mana kamu sokong?”
Jawapannya:
“Saya pilih Islam. Itulah jawapan yang diberi walaupun mereka terdiri dari mat rempit atau mat cakoroi”.
Jawapan itu kedengaran indah.
Tetapi persoalannya, Islam yang bagaimana?
Adakah Islam itu sekadar jubah?
Adakah Islam itu sekadar serban?
Adakah Islam itu sekadar kopiah?
Adakah Islam itu sekadar slogan di pentas ceramah?
Atau Islam itu juga bermaksud amanah, keadilan, ilmu, integriti, akhlak, kebajikan rakyat, menghormati perbezaan dan menolak budaya memecah-belahkan umat?
Jangan sampai anak muda menganggap Islam itu nama parti.
Islam bukan milik Pas.
Islam bukan milik mana-mana parti politik.
Dan lebih penting, syurga bukan milik mana-mana parti politik.
Seseorang yang berjubah belum tentu paling bertakwa. Seseorang yang berserban belum tentu paling benar. Dan seseorang yang tidak memakai imej agama pula tidak semestinya tidak memahami Islam.
Di Kedah, fenomena ini amat jelas.
Sebahagian anak muda tidak lagi melihat pembangunan, ekonomi atau projek mega sebagai ukuran utama.
Mereka mahu melihat kerajaan yang membawa nama Islam.
Itulah antara faktor yang membantu mencetuskan gelombang hijau pada pilihan raya lalu.
Namun politik tidak boleh selama-lamanya dibina atas persepsi bahawa “kalau mahu Islam, undilah kami.”
Rakyat perlu diajar membezakan antara Islam sebagai agama dengan Islam sebagai jenama politik.
Kerajaan MADANI mempunyai tanggungjawab besar dalam perkara ini.
Bukan dengan menyerang agama.
Bukan dengan memusuhi ulama.
Tetapi dengan memberikan penerangan yang jelas bahawa Islam sebenar bukan sekadar simbol dan slogan.
Islam menuntut keadilan.
Islam menuntut amanah.
Islam menuntut ilmu.
Islam menolak fitnah.
Islam melarang kezaliman.
Islam mengajar umat supaya berlaku adil walaupun terhadap pihak yang kita tidak suka.
Dan Islam tidak pernah memberikan lesen kepada mana-mana parti politik untuk mendakwa bahawa undi kepada mereka adalah tiket ke syurga.
Akhirnya, persoalan paling besar tetap sama:
Layakkah Pas digelar parti “syurga”?
Jawapannya bukan terletak pada serban.
Bukan pada jubah.
Bukan pada jumlah ceramah.
Bukan pada banyaknya slogan Islam.
Dan bukan juga pada berapa banyak kerusi Parlimen yang dimenangi.
Ukuran sebenar ialah akhlak, amanah, keadilan, kejujuran dan sejauh mana kuasa digunakan untuk membawa kemaslahatan kepada rakyat.
Jangan kerana mahu menang pilihan raya, syurga pula dijadikan modal kempen.
Jangan jual agama untuk mendapatkan kuasa.
Jangan gunakan nama Islam untuk menutup kelemahan politik.
Dan jangan pula membuatkan anak muda percaya bahawa kalau mereka mengundi satu parti tertentu, maka secara automatik mereka sudah membeli tiket ke syurga.
Syurga bukan milik Pas.
Syurga bukan milik UMNO.
Syurga bukan milik PKR.
Syurga bukan milik DAP.
Syurga milik Allah SWT.
Justeru, wahai anak muda Melayu Islam, jangan hanya melihat siapa paling pandai bercakap tentang Islam.
Lihat siapa paling amanah apabila diberikan kuasa.
Lihat siapa paling adil apabila berdepan dengan musuh politik.
Lihat siapa paling jujur apabila membuat janji.
Lihat siapa yang mampu menyatukan rakyat, bukan memecahkan mereka.
Kerana akhirnya, yang akan ditanya bukan parti apa yang kita undi, tetapi bagaimana kita menggunakan akal, ilmu dan amanah yang Allah berikan kepada kita.
Dan kepada mana-mana parti yang mendakwa dirinya paling Islam, satu soalan mudah untuk dijawab:
Jika benar undi kepada kamu boleh membawa seseorang ke syurga, siapa sebenarnya yang memberikan kamu kuasa untuk menjual tiketnya?







