
KUCHING – Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak akan menjalinkan kerjasama pilihan raya dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, sebaliknya berhasrat bertanding di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, GPS akan menganggap semua parti di luar gabungan itu sebagai lawan politik, termasuk PKR, DAP, PAS, Bersatu dan Amanah.
Menurutnya, kerjasama parti berkenaan dalam kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan tidak mengubah kedudukan mereka sebagai pesaing GPS dalam pilihan raya negeri.
“Kita tetap akan menganggap mereka sebagai pembangkang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Festival Peribumi Borneo 2026 di Bangunan Baitulmakmur II, pada Isnin.
Abdul Karim berkata, GPS mempunyai pendirian tersendiri dalam menentukan hala tuju politik dan pentadbiran Sarawak tanpa perlu bergantung kepada keputusan kepimpinan parti yang berpusat di Kuala Lumpur.
Menurutnya, gabungan empat parti tempatan itu mempunyai keupayaan untuk membuat keputusan berkaitan kepentingan negeri menerusi kepimpinan sendiri.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan keperluan menjalinkan kerjasama pilihan raya dengan parti nasional sekiranya keputusan penting berkaitan Sarawak perlu dirujuk kepada kepimpinan parti di luar negeri.
Abdul Karim turut menegaskan bahawa parti di luar GPS bebas bertanding pada PRN akan datang dan menyerahkan keputusan kepada pengundi.
“Kalau mahu, bertandinglah dalam pilihan raya dan biar rakyat Sarawak yang menentukannya,” katanya.
Beliau berkata, persoalan kerjasama pilihan raya tidak lagi wajar dibangkitkan ketika persiapan menghadapi PRN Sarawak ke-13 sedang berlangsung.


