
KUANTAN – Setiap ahli politik perlu mempunyai prinsip dan berpegang kepada lima asas penting bagi memastikan mereka kekal dihormati.
Perkara ini juga menjadi benteng kepada ahli politik untuk menjalankan amanah dengan lebih bertanggungjawab.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Lantikan) Pahang, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qari berkata, semua prinsip itu adalah perkara umum yang seharusnya menjadi panduan kepada ahli politik dan wakil rakyat.
“Ia adalah benda asas, tapi sangat memainkan peranan utama dalam pembentukan karakter seseorang ahli politik.
“Lima asas yang disenaraikan bukan benda baharu, tapi sepatutnya difahami kerana ia merujuk kepada alasan atau faktor dalam menentukan ketahanan diri kita apabila mahu menceburi bidang politik,” katanya.
Beliau memberitahu, prinsip berkenaan juga mempunyai kaitan langsung dengan cara seseorang ahli politik itu dalam berkomunikasi dengan orang ramai.
“Perkara paling utama adalah elakkan daripada mengeluarkan perkataan fitnah kerana ia boleh merosakkan kepercayaan orang ramai.
“Seterusnya, jangan berbohong atau menipu untuk mendapat sokongan kerana sokongan berlandaskan penipuan itu tidak bertahan lama,” jelasnya.
![]()
Ahmad Irshadi turut meletakkan hal berkaitan sikap sebagai prinsip ketiga yang perlu menjadi panduan ahli politik.
Katanya, tindakan atau perbuatan atau melalui perkataan yang menghina rakyat perlu dielakkan memandangkan ia boleh memberi isyarat kurang baik kepada ahli politik itu sendiri.
“Jangan berlagak sombong hingga mengeluarkan ayat yang merendah-rendahkan rakyat… ia menggambarkan seperti kita memandang rakyat sebagai ‘alat’ dan hanya berguna ketika memerlukan sokongan mereka.
“Selain itu, ahli politik yang bijak dan berhati-hati tidak akan mempermainkan isu sensitif seumpama bab perkauman kerana ia boleh menjejaskan kestabilan dan keharmonian,” katanya.
Beliau yang juga pengasas Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Afzan Pekan meletakkan prinsip terakhir sebagai ahli politik adalah untuk tidak berjanji melebihi daripada kemampuan.
Katanya, keterujaan segelintir ahli politik melontarkan pelbagai janji ketika mencari sokongan adalah tidak bertanggungjawab kerana seolah-olah memberi harapan palsu kepada rakyat.
“Islam pun tidak suka kalau kita berlebih-lebihan dalam apa sahaja yang dilakukan… begitulah juga dalam bab berjanji, jangan buat (janji) kalau kita sendiri tidak yakin akan mampu menunaikannya.
“Semua prinsip ini adalah asas yang difahami semua ahli politik… dan ada yang kadang-kadang terlupa dan melanggar prinsip yang dinyatakan… akhirnya mereka kehilangan sokongan dan kepercayaan daripada rakyat,” ujarnya.




