
KESEJAHTERAAN rakyat menjadi ukuran utama dalam menterjemahkan makna kemerdekaan, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu.
Beliau berkata selari dengan langkah Kerajaan MADANI yang terus memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan beban kos sara hidup dan memperkukuh ekonomi rakyat.
“Saya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri sempena Amanat Merdeka yang memperkenalkan beberapa langkah penting bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat, membantu kelangsungan perniagaan, memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan serta membina asas ekonomi negara yang lebih berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Selasa.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepang berkata, keputusan mengembalikan had kelayakan subsidi RON95 daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan merupakan langkah yang mengambil kira realiti kehidupan rakyat, khususnya mereka yang bergantung kepada kenderaan untuk bekerja, berniaga dan mengurus kehidupan seharian.
“Langkah ini memberikan ruang kelegaan kepada rakyat yang berdepan tekanan kos sara hidup, di samping mengekalkan prinsip pengurusan subsidi yang bertanggungjawab agar manfaat kerajaan dapat disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Dalam aspek perniagaan, beliau turut menyambut baik keputusan menaikkan ambang pengecualian pelaksanaan e-Invois kepada perniagaan dengan hasil jualan sehingga RM3 juta setahun.
Katanya, langkah itu mengambil kira cabaran yang dihadapi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), termasuk peningkatan kos operasi, keperluan mendapatkan modal serta persaingan dalam persekitaran perniagaan yang semakin mencabar.
“Pendekatan kerajaan memberikan ruang penyesuaian yang lebih munasabah menunjukkan bahawa agenda transformasi digital negara dilaksanakan secara inklusif, tanpa meninggalkan golongan perniagaan kecil yang menjadi penggerak ekonomi akar umbi,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan peruntukan penyelenggaraan sekolah sebanyak RM500 juta, pengukuhan pendigitalan perkhidmatan kesihatan, akses langganan perisian kecerdasan buatan (AI) kepada golongan belia serta peluasan kemudahan mikro kredit sebanyak RM1 bilion juga perlu dilihat sebagai bentuk pelaburan sosial.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan penyediaan geran RM200 juta bagi membantu penjaja kecil, peniaga pasar malam serta wanita yang menjalankan perniagaan dari rumah sebagai langkah bermakna dalam memperkukuh ekonomi rakyat.
Katanya, walaupun golongan itu bergerak dalam skala kecil, sumbangan mereka terhadap ekonomi komuniti dan kesejahteraan keluarga amat besar.
Bagaimanapun, Aiman Athirah menegaskan keberkesanan sesuatu dasar tidak hanya bergantung kepada jumlah peruntukan yang diumumkan, sebaliknya sejauh mana manfaat berkenaan dapat disalurkan kepada rakyat.
Beliau berkata, kementerian dan agensi berkaitan perlu memastikan peruntukan disalurkan dengan segera, proses permohonan serta penyampaian bantuan dipermudah dan tiada golongan yang layak tercicir daripada menerima manfaat.
“Kerajaan yang baik bukan hanya dinilai melalui dasar yang diperkenalkan, tetapi melalui keupayaan melaksanakan dasar tersebut dengan cekap, telus dan berkesan,” katanya.
Beliau turut berpandangan langkah jangka pendek yang diumumkan perlu disusuli reformasi jangka panjang menerusi pendekatan lebih menyeluruh dalam Belanjawan 2027.
Antara perkara yang perlu diberi perhatian, katanya, termasuk meningkatkan pendapatan rakyat, mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti, memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana, memperluas peluang ekonomi digital serta mengukuhkan daya saing negara.
Dalam masa sama, katanya, penelitian terhadap dasar percukaian dan rasionalisasi subsidi perlu diteruskan secara berhati-hati dengan mengambil kira kemampuan rakyat serta keperluan memastikan kedudukan kewangan negara kekal mampan.
“Keseimbangan antara kebajikan rakyat dan tanggungjawab fiskal negara amat penting supaya kerajaan terus mempunyai kemampuan untuk membantu rakyat bukan sahaja hari ini, tetapi juga pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata, sempena sambutan kemerdekaan, mesej Amanat Merdeka itu wajar diterjemahkan melalui usaha memastikan kemajuan negara dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat.
“Inilah semangat Malaysia MADANI: sebuah kerajaan yang bukan sekadar mengejar angka pertumbuhan, tetapi memastikan kemajuan negara diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat,” katanya.






