SERAMAI enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menandatangani Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) bersama Kerajaan Persekutuan hari ini selepas syarat-syarat yang dikemukakan parti itu dipersetujui.
Ketua Penerangan Armada, Harris Idaham Rashid berkata, dua syarat berkenaan adalah pemerkasaan agenda Bumiputera serta pelaksanaan reformasi institusi, termasuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri serta pemisahan peranan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya.
Menurutnya, Bersatu memastikan tuntutan itu dimasukkan dalam perjanjian bagi melindungi kesejahteraan rakyat serta kepentingan negara.
“Sebagai sebuah gerakan yang mendukung keputusan saf kepimpinan pusat, kami akan memastikan Agenda Pemerkasaan Bumiputera termaktub secara substantif sebagai instrumen utama yang tidak boleh dikompromi dalam perjanjian ini.
“Ini bagi menjamin ekosistem ekonomi, ekuiti pendidikan dan peluang sosioekonomi anak watan terus dilindungi serta diperkasakan di bawah dasar persekutuan secara tuntas menerusi tuntutan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bagi syarat mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, ia bertujuan menjamin ketelusan tadbir urus dan mengelakkan pemusatan kuasa mutlak, manakala pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya diperlukan bagi menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa campur tangan politik.
“Sokongan berstruktur menerusi CSA ini berpaksikan empat tonggak utama iaitu kepentingan negara, kesejahteraan rakyat, kestabilan politik dan keutuhan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Tambahnya, kestabilan tadbir urus domestik perlu dipertahankan ketika negara berdepan cabaran geoekonomi bagi memastikan kebajikan rakyat di peringkat akar umbi sentiasa dilindungi.
“Armada percaya politik matang harus berteraskan semak dan imbang yang objektif.
“Perjanjian CSA ini menjadi bukti komitmen berprinsip Bersatu dalam mengutamakan kepentingan nasional mengatasi percaturan politik kepartian demi masa depan Malaysia yang lebih stabil dan telus,” katanya.
CSA adalah tanda persetujuan memberikan sokongan dalam urusan keyakinan terhadap kerajaan dan kelulusan perbekalan, termasuk belanjawan tanpa semestinya menyertai pentadbiran.


