
KERAJAAN mengunjurkan perbelanjaan subsidi petroleum mencecah RM40 bilion tahun ini susulan krisis bekalan global yang menyaksikan harga minyak mentah dunia melonjak melebihi AS$120 setong.
Kementerian Kewangan memaklumkan, perbelanjaan subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) meningkat mendadak daripada kira-kira RM800 juta sebulan pada Januari dan Februari kepada hampir RM5 bilion sebulan pada Mac dan April.
Bagaimanapun, perbelanjaan berkenaan menunjukkan penyederhanaan kepada sekitar RM3 bilion sebulan bagi tempoh Jun hingga Ogos lalu.
“Menghadapi peningkatan kos itu, kerajaan mengambil pendekatan seimbang dengan menyusun semula keutamaan perbelanjaan tahunan bagi memastikan kebajikan rakyat terus dilindungi, tanpa mengabaikan kemampanan kewangan negara.
“Penyusunan semula berkenaan dibuat berdasarkan keperluan operasi dan keutamaan setiap kementerian, dengan peruntukan terus ditumpukan kepada program berimpak tinggi serta perkhidmatan asas, khususnya pendidikan, kesihatan dan bantuan kepada rakyat,”jelasnya.
Menambah lanjut, ujar Kementerian Kewangan, dalam masa sama, disiplin fiskal akan diperkukuh menerusi kawalan perbelanjaan operasi, peningkatan kecekapan perbelanjaan awam serta usaha membendung ketirisan dalam pelaksanaan program dan pemberian subsidi.
“Penguatkuasaan juga akan dipertingkat bagi memastikan subsidi dan bantuan kerajaan disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak, sekali gus mengelakkan pembaziran serta mengoptimumkan penggunaan sumber kewangan negara.
“Kerajaan akan terus mengimbangi keperluan melindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga bahan api dengan pengurusan kewangan yang berhemat, supaya peningkatan tanggungan subsidi tidak menjejaskan kemampanan fiskal negara,” tegasnya.
Perkara itu dinyatakan dalam jawapan bertulis Kementerian Kewangan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Semporna) berhubung jumlah subsidi produk petroleum bagi tahun ini setakat September serta senarai pengurangan perbelanjaan setiap kementerian bagi menampung peningkatan kos subsidi.


