
KUALA LUMPUR – Peruntukan kepada Ahli Parlimen yang memeterai Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) bersama Kerajaan MADANI akan disalurkan berdasarkan persefahaman yang dicapai menerusi rundingan berhubung perbelanjaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu bukan sesuatu yang baharu atau luar biasa kerana kaedah sama pernah dilaksanakan ketika beliau menjadi Ketua Pembangkang sebelum ini.
Menurutnya, persefahaman berkaitan peruntukan Ahli Parlimen turut pernah digunakan ketika pentadbiran terdahulu yang melibatkan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
“Peruntukan melalui Ahli Parlimen itu mengikat pada satu persefahaman seperti mana dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional semasa mereka berkuasa dan kita tandatangani, masa itu saya selaku Ketua Pembangkang dan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
“Jadi, peruntukan itu ikut perbelanjaan dalam perbincangan sekarang, perbahasan, sebab diluluskan akhir tahun ini, kita boleh salur ikut persefahaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Solat Jumaat Bersama Perdana Menteri di Masjid Muqarabin, Bandar Tasik Selatan, di sini pada Jumaat.

Anwar berkata, penyaluran peruntukan Parlimen selama ini berjalan seperti biasa kepada Ahli Parlimen kerajaan mahupun pembangkang, meskipun terdapat dakwaan kononnya kerajaan menyekat pemberian berkenaan.
Katanya, persefahaman itu turut terbuka kepada mana-mana pihak yang bersedia menggunakan kaedah sama seperti yang pernah diamalkan pentadbiran terdahulu.
Beliau menjelaskan pendekatan berkenaan bukan peraturan baharu kerajaan MADANI, sebaliknya mekanisme yang pernah digunakan dan dipersetujui Bersatu, Pas serta BN.
Mengulas dakwaan penganalisis politik bahawa CSA berkenaan merupakan peringatan kepada parti komponen Kerajaan Perpaduan supaya tidak menarik sokongan serta memastikan Belanjawan 2027 diluluskan, Anwar menyifatkan perkara itu sebagai tafsiran politik.
“Ya, ini tafsiran politik, tak boleh kita kritikal, memang akan berlaku, tetapi saya nak beritahu ini bukan sesuatu yang janggal.
“Persefahaman ini berlaku dalam banyak negara demokrasi, tetapi dalam pengalaman di Malaysia, memang ada perundingan dahulu,” katanya.
Menurutnya, rundingan terdahulu turut membabitkan wakil Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan ketika itu yang terdiri daripada Bersatu, Pas, UMNO serta Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Ditanya sama ada CSA yang dimulakan dengan Bersatu akan diperluaskan kepada Ahli Parlimen pembangkang lain, Anwar berkata, tiada sebarang syarat dikenakan kepada mana-mana pihak yang mahu mencapai persefahaman sedemikian.


