
KUALA LUMPUR – Industri kredit pengguna bukan bank termasuk pemberi pinjam wang, pajak gadai, Ar-Rahnu dan penyedia sewa beli bakal disatukan di bawah satu pengawal selia menerusi Fasa 2 pelaksanaan Akta Kredit Pengguna 2025 (AKP).
Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) dalam kenyataan berkata, persetujuan ke arah penyatuan itu dicapai pada mesyuarat sulung Jawatankuasa Penasihat yang ditubuhkan di bawah Seksyen 36 akta berkenaan, baru-baru ini.
Menurutnya, jawatankuasa itu bersetuju bekerjasama mengenal pasti langkah persediaan bagi pelaksanaan Fasa 2, termasuk penyatuan sektor kredit pengguna bukan bank di bawah seliaan SKP.
Jawatankuasa Penasihat yang dibentuk itu turut menghimpunkan wakil kementerian, pengawal selia dan agensi berkaitan bagi memperkukuh penyelarasan dasar serta strategi perlindungan pengguna kredit.
Pengerusi Eksekutif SKP, Abu Hassan Alshari Yahaya berkata, platform berkenaan membolehkan isu rentas sektor dibincangkan secara bersama bagi memastikan pelaksanaan AKP berjalan secara konsisten dan terselaras.
“Jawatankuasa Penasihat menghimpunkan kepimpinan kanan daripada kementerian, pengawal selia dan agensi utama yang memainkan peranan penting dalam ekosistem kredit pengguna.
“Ini membolehkan isu-isu rentas sektor dibincangkan secara kolektif, sekali gus membantu memastikan Akta Kredit Pengguna dilaksanakan dengan konsisten dan terselaras bagi memperkukuh perlindungan pengguna,” katanya.

Dalam mesyuarat sulung itu, jawatankuasa turut mengambil maklum beberapa langkah yang memberi manfaat secara langsung kepada pengguna kredit.
Antaranya, peralihan daripada kaedah pengiraan faedah kadar tetap sama rata (flat rate) dan Peraturan 78 (Rule of 78) kepada kadar faedah efektif (effective interest rate).
Langkah berkenaan akan dilaksanakan oleh SKP bagi pemberi kredit di bawah seliaannya, manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakannya bagi sektor sewa beli menerusi pindaan Akta Sewa Beli 1967.
Selain itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membangunkan rangka kerja bagi produk kredit pengguna patuh Syariah.
Jawatankuasa turut menekankan perlindungan pengguna daripada amalan kutipan hutang tidak beretika dengan memastikan agensi kutipan hutang dan pembeli pinjaman terjejas yang digunakan industri berdaftar dengan SKP.
Penubuhan Jawatankuasa Penasihat itu turut mencerminkan pendekatan seluruh kerajaan (whole-of-Government approach) dengan penglibatan pelbagai kementerian dan agensi dalam memperkukuh ekosistem kredit pengguna negara.
Jawatankuasa berkenaan dipengerusikan Abu Hassan dan dianggotai wakil kanan Kementerian Kewangan, KPKT, KPDN, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta Suruhanjaya Koperasi Malaysia.


