PERJANJIAN Keyakinan dan Perbekalan (CSA) merupakan mekanisme yang sah dalam sistem demokrasi berparlimen, namun ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk kerajaan mengabaikan tuntutan reformasi.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, kestabilan politik yang diwujudkan menerusi perjanjian berkenaan tidak boleh dianggap sebagai cek kosong kepada kerajaan.
Menurut beliau, terdapat tiga prinsip utama yang perlu diberikan perhatian dalam pelaksanaan CSA, termasuk memastikan peruntukan pembangunan kawasan diagihkan secara adil, telus dan boleh diaudit.
Katanya, peruntukan pembangunan kawasan merupakan hak rakyat dan bukannya hadiah peribadi kepada Ahli Parlimen.
“Pemberian secara sama rata, telus dan boleh diaudit tidak boleh disamakan dengan membeli sokongan,” katanya dalam kenyataan.
Mujahid berkata, Ahli Parlimen pembangkang yang menandatangani CSA juga perlu terus memainkan peranan sebagai semak dan imbang terhadap kerajaan.
Jelasnya, perjanjian tersebut tidak seharusnya menjadi alasan untuk pembangkang berdiam diri atau tidak menegur kelemahan pentadbiran kerajaan.
Beliau turut menegaskan bahawa komitmen reformasi perlu disertakan dengan tindakan serta garis masa pelaksanaan yang jelas, bukannya sekadar janji politik.
Antara reformasi yang dibangkitkan termasuk pelaksanaan had tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal serta pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Dalam masa sama, beliau mencadangkan supaya kerajaan menerbitkan teks penuh CSA bagi memastikan kandungan perjanjian itu dapat diteliti oleh rakyat.
Katanya, kerajaan juga perlu membentangkan laporan kemajuan pelaksanaan reformasi kepada Parlimen sebagai langkah memastikan setiap komitmen yang dipersetujui dapat dipantau.
Mengulas dakwaan bahawa CSA merupakan usaha membeli sokongan politik, Mujahid berkata, tuduhan sedemikian hanya berasas sekiranya terdapat pemberian habuan peribadi seperti jawatan, kontrak atau kekebalan undang-undang.
Sebaliknya, beliau berpandangan peruntukan yang disalurkan secara telus bagi kepentingan rakyat tidak wajar disamakan dengan rasuah politik.
Beliau turut mengingatkan bahawa Pakatan Harapan (PH) pernah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dwipartisan dengan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 13 September 2021.
Sehubungan itu katanya, penilaian terhadap sesuatu perjanjian politik perlu dibuat secara konsisten dengan mengambil kira aspek ketelusan, komitmen reformasi dan manfaat kepada rakyat.
“Stabiliti bukan penghujungnya. Stabiliti ialah ruang untuk reformasi diberi peluang,” katanya.


