
GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan Bantuan Kewangan Khas (BKK) sebanyak satu bulan gaji kepada penjawat awam negeri sebagai penghargaan terhadap komitmen dan sumbangan golongan berkenaan dalam memastikan kelancaran pentadbiran serta pembangunan negeri.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pemberian itu mencerminkan penghargaan kerajaan negeri terhadap dedikasi penjawat awam yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan fiskal, meningkatkan kecekapan pentadbiran dan memastikan mutu penyampaian perkhidmatan awam terus berada pada tahap terbaik.
“Sukacita saya umumkan bantuan khas kewangan (BKK) sebanyak 1 bulan gaji. Selain itu, penyelia dan guru kelas Al-Quran; Fardu Ain (KAFA); guru Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR), guru Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), kakitangan sekolah rendah agama rakyat, sekolah menengah agama rakyat, sekolah agama bantuan kerajaan, guru tahfiz, guru pondok, guru Tadika Islam (TADIS), serta guru dan kakitangan sekolah persendirian Cina negeri Pulau Pinang akan turut menerima imbuhan sebanyak RM300 secara one-off.
“BKK dan bayaran secara one-off ini melibatkan 7,292 penerima, dengan implikasi kewangan sebanyak RM16.207 juta dan akan dibayar pada bulan Disember tahun 2026,” ujarnya semasa membentangkan Belanjawan Pulau Pinang 2027 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15, pada Jumaat.
Menurut Kon Yeow, Belanjawan Negeri Pulau Pinang tahun 2027 yang dibentangkan bukan hanya berkisar pada angka dan peruntukan kewangan semata-mata.
“Belanjawan ini adalah pernyataan moral dan iktizam kerajaan negeri untuk memenuhi aspirasi penduduk Pulau Pinang tanpa mengira latar belakang dan ideologi.
“Sejarah membuktikan bahawa Pulau Pinang lama diiktiraf pada peringkat antarabangsa dengan kedudukan strategik, kekuatan ekonomi, serta daya saing yang dibina sejak sekian lama. Pulau Pinang akan terus berdiri sebagai antara penyumbang penting kepada kemajuan dan kemakmuran negara.
“Namun, kemajuan yang ingin dicapai mestilah memberi makna kepada rakyat; kemajuan yang membuka peluang pekerjaan kepada generasi muda, membantu keluarga memiliki kediaman yang selesa, memudahkan pergerakan rakyat, melindungi masyarakat daripada risiko bencana dan perubahan iklim, serta memastikan mereka yang memerlukan tidak pernah dibiarkan bersendirian. Inilah doktrin yang mendasari Belanjawan 2027,” kongsinya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memperkukuh Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang kompetitif dan dihormati di persada dunia, tanpa mengabaikan tanggungjawab untuk memastikan setiap rakyat mempunyai ruang dan peluang membina kehidupan yang lebih baik. Penang 2030 telah memberikan kita satu visi yang jelas.
“Sepanjang perjalanan ini, kita telah membina asas dan harapan yang ingin kita wariskan kepada generasi seterusnya. Maka, Belanjawan 2027 ini merupakan satu lagi langkah penting untuk memastikan segala yang telah kita mulakan akan terus bergerak ke hadapan.
“Dengan semangat merayakan visi menempa legasi, kita akan terus melangkah maju tanpa melupakan akar dan jati diri, membina kemakmuran tanpa meninggalkan sesiapa, serta memastikan setiap kejayaan hari ini menjadi asas kesejahteraan generasi esok.
“Kita telah menetapkan haluan. Kini tiba masanya untuk belayar bersama demi Pulau Pinang yang lebih makmur, maju dan sejahtera,” tegasnya.
Tambah Kon Yeow, komitmen penjawat awam negeri turut membuahkan pengiktirafan pada peringkat nasional, termasuk Pengiktirafan Pencapaian Bilangan Projek Siap Tertinggi (Negeri) menerusi pelaksanaan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) Tahun 2025.
Terdahulu, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut menerima Pengiktirafan Organisasi Unggul menerusi penilaian Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE), dengan skor keseluruhan 97.84 peratus.
Dalam pada itu, Kon Yeow turut membentangkan Belanjawan Negeri Pulau Pinang 2027 berjumlah RM1.074 bilion dengan anggaran hasil sebanyak RM1.069 bilion dan defisit kecil sebanyak RM5.62 juta.


