
PUTRAJAYA – Kerajaan sedang meneliti kemungkinan mengubah skala atau lokasi sambutan Hari Kebangsaan ke-69 susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan negara, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini memutuskan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar akan mengadakan perbincangan bersama kementerian dan agensi berkaitan bagi meneliti keadaan itu.
Katanya, perbincangan berkenaan turut melibatkan Kementerian Komunikasi selaku kementerian yang bertanggungjawab menguruskan sambutan Hari Kebangsaan, selain Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Jadi, petang ini Tan Sri KSN akan bincang untuk menjamin keselamatan dan kesihatan semua pengunjung serta peserta,” katanya dalam sidang media pada Rabu.
Fahmi berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan turut dirujuk bagi mendapatkan unjuran keadaan cuaca dan jerebu untuk tempoh lima hingga enam hari akan datang.
Menurutnya, kerajaan perlu melihat beberapa senario yang mungkin berlaku sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung sambutan pada 31 Ogos ini.
Antara yang turut diberi perhatian ialah program Ambang Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama CIMB.
“Kita akan teliti projection, kaji cuaca lima hingga enam hari ke depan dan scenario yang mungkin. Perkara ini akan diputuskan hari ini,” katanya.
Menjawab pertanyaan media sama ada sambutan Hari Kebangsaan akan dibatalkan sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk, Fahmi berkata kerajaan belum membuat keputusan untuk membatalkannya.
“Kita tak batal, tapi kita tunggu hasil (perbincangan) KSN hari ini,” katanya.
Beliau berkata, aspek kesihatan kira-kira 1,500 peserta persembahan grafik manusia dari tiga negeri turut menjadi antara perkara yang perlu dipertimbangkan.
Mengulas kemungkinan sambutan dipindahkan ke lokasi tertutup, Fahmi berkata cadangan itu turut berada dalam pertimbangan, namun keputusan hanya akan dibuat selepas perbincangan KSN bersama semua pihak berkaitan.







